100 hari PH: Melaka kembalikan semula kerajaan berwibawa dan bermaruah

AYER KEROH 19 Ogos – Sebanyak 31 dari 85 inisiatif terkandung dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya direalisasikan menjelang 100 hari kerajaan PH mengambil alih kepimpinan negeri.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, semua 31 inisiatif itu adalah sebahagian kecil dari perancangan pembangunan yang telah dan sedang dilaksana bagi tempoh pentadbiran kerajaan baru ini.
Ujarnya, beliau percaya, dengan kerjasama erat dan usaha berterusan semua pihak, kerajaan negeri boleh merealisasikan lebih banyak program dan projek selaras hala tuju pembangunan negeri.
Katanya, antara 31 inisiatif telah dilaksanakan adalah memperkenalkan slogan ‘Melaka Berwibawa’ bagi mengembalikan semula Melaka sebagai kerajaan negeri yang berwibawa dan bermaruah, menambah bilangan bas Panorama yang beroperasi dari 24 kepada 40 buah bas bagi memudahkan rakyat.
Jelasnya, sewa bazar Ramadan di kawasan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah(MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) diturunkan bagi mengurangkan beban peniaga.
Selain pelajar yang menuntut di Timur Tengah katanya, kini mendapat kemudahan pinjaman pelajaran dan dermasiswa dari kerajaan negeri.
Diikuti fungsi bangunan Seri Bendahara sebagai kediaman rasmi Ketua Menteri ditukar bagi menjimatkan kos, menilai semula perancangan Melaka Gateway untuk penambahbaikan, penggunaan tagline ‘Pintar, Hijau, Bersih’ bagi menyelaraskan semula strategi dan kekuatan Negeri Melaka.
“Selain borang permohonan kebajikan tidak memerlukan sokongan Ahli Dewabn Undangan Negeri (ADUN) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), tetapi dihantar terus kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk diproses,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Pelancaran Pencapaian 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Negeri PH Melaka & Hari Bertemu Rakyat Perdana di Dewan Seri Negeri, Jumaat lalu.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Omar Jaafar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Roslan Ibrahim; Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri, ADUN-ADUN serta ketua-ketua jabatan.
Adly berkata, kejayaan lain adalah melaksanakan belanja berhemah yang telah diwajibkan kepada semua jabatan dan agensi kerajaan selain Program Hari Bertemu Rakyat Bersama Ketua Menteri setiap Jumaat di Seri Bendahara.
Katanya, tanah kediaman milik orang Melayu berstatus pajakan (leasehold) dibenar untuk ditukar kepada Tanah Adat Melaka (MCL) dengan bayaran nominal RM1,000 saja.
Menyusun semula enam jabatan, bahagian dan unit kerana pertindihan fungsi, menyusun semula perjawatan dengan ketua-ketua Jabatan dan agensi yang tamat kontrak dan diganti dengan calon baharu.
Diikuti Institut Tun Perak ditubuhkan di mana tenaga pakar dan profesional dikumpulkan untuk mengkaji, memandu dan memantau dasar pentadbiran kerajaan, tanah berstatus pajakan boleh diperbaharui tempoh pajakannya kepada 99 tahun pada bila-bila masa bagi memudahkan usaha pembangunan tanah.
Hanya barangan berbentuk makanan dan jambangan bunga atau buku bagi tujuan pembacaan boleh dihadiahkan kepada pemimpin dan penjawat awam dan tiada caj meletak kenderaan di seluruh Negeri Melaka pada setiap Sabtu dan Ahad.
Menuurtnya, inisiatif lain ialah semua operasi pengeluaran hasil hutan dan perlombongan pasir dihentikan sementara waktu bagi membolehkan ia dikaji semula dalam usaha memulihara kualiti dan kelestarian alam sekitar.
Ujarnya, tempoh jawatan Ketua Menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja bagi mengurangkan risiko krisis pengurusan serta salah guna kuasa.
Diikuti Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Melaka (MELCAT) ditubuhkan bagi memantau prestasi penjawat awam termasuk Ketua Menteri, Exco, Ketua Jabatan dan agensi kerajaan bagi tujuan penambahbaikan.
Projek tambak laut berhampiran Pulau Upeh dihentikan bagi memulihara pulau itu sebagai pusat pendaratan dan penetasan penyu karah serta dijadikan projek angkat Pejabat Ketua Menteri.
“Bagi mempercepatkan proses pembangunan, tempoh penilaian sesuatu projek pembangunan oleh wakil rakyat ditetapkan kepada 14 hari saja.
“Memberi tumpuan kepada pembinaan tiga pelabuhan utama iaitu Melaka Gateway, Tanjung Beruas dan Kuala Linggi, untuk memudahkan penerima bantuan JKM, bantuan akan disalurkan terus ke akaun bank penerima,” katanya.
Jelas Adly, kejayaan lain dengan mewujudkan Majlis Penasihat Bandar Pintar (Smart City) sebagai salah satu usaha menjadikan Bandaraya Melaka sebagai Bandar Pintar menjelang 2030.
Pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh Ketua Menteri, Exco dan ADUN serta Ex-Officio Kerajaan Negeri pada 16 Julai 2018. Insentif Pengurangan Kompaun sempena Hari Kebangsaan Negara.
Katanya, perkhidmatan bas percuma kepada rakyat Melaka mulai 20 Ogos 2018 di mana kawasan tumpuan utama ialah laluan (Melaka Sentral-Hospital Melaka -Batu Berendam-MITC), laluan (Melaka Sentral-MBMB-MMU-MITC) dan laluan (Melaka Sentral-Hospital Melaka-Pasar Transit), pengisytiharaan harta oleh Ketua Menteri, Exco dan ADUN akan dilaksana secara berperingkat.
“Semua Ahli Majlis yang dilantik oleh kerajaan negeri, tidak lagi punyai kuasa dalam Jawatankuasa Perolehan dan Tender bagi mengelakkan amalan kronisme dan menjamin ketelusan proses pemerolehan tender dan Ahli Majlis hanya berperanan sebagai pemerhati saja.
“Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diperkenalkan bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya dapat menggerakkan komuniti kampung untuk melaksanakan pembangunan demi kesejahteraan masyarakat setempat secara lebih teratur dan berkesan,” katanya.
Adly berkata, kerajaan negeri cukup memahami perubahan yang dinanti-nantikan di bawah kerajaan baru ini untuk menjadikan Melaka lebih maju, makmur serta bahagia menerusi asas-asas seperti nilai bersama, budaya ilmu, kebebasan, kebenaran, keadilan sosial dan ekonomi, maruah, ketamadunan, keamanan, perpaduan serta kemakmuran.
“Meskipun tiada negara di dunia yang boleh menyelesaikan semua masalah rakyat dalam masa 100 hari, Alhamdulillah, berkat kerjasama serta usaha semua, Kerajaan Negeri Melaka yang baru telah dapat mencapainya dengan baik dan cemerlang,” jelasnya.