108 pelajar keracunan makanan : Pengusaha kantin sekolah & asrama diarah tutup 14 hari

108 pelajar keracunan makanan : Pengusaha kantin sekolah &  asrama diarah tutup 14 hari

CHEE Leong menunjukkan habuk tebal selepas mengosoknya di atas almari makanan di SM Teknik Bukit Piatu.

BUKIT PIATU 31 Okt. – Pengusaha kantin asrama dan Sekolah Menengah (SM) Teknik diarah berhentikan operasi mereka ekoran tahap kebersihan yang mengecewakan.

Exco Kesihatan & Anti Dadah, Low Chee Leong ketika mengadakan lawatan mengejut ke sekolah terbabit mendapati, peti sejuk sedia ada berkarat.

Terdapat sarang labah-labah berhampiran tempat menyedia makanan dan tempat simpan peralatan penyediaan makanan diletakkan di tempat terbuka.

Menurutnya, kebersihan papan pemotong juga tidak dijaga sehingga ia menjadi kehitaman, masih ada lipas selepas ditutup empat hari untuk kerja membersih, peralatan dapur dicampur dengan penyepit arang dan almari makanan yang berhabuk.

Jelasnya, lebih malang, sudu digunakan pelajar juga didapati berkarat dan bau kurang menyenangkan di dapur kantin.

“Pihak Jabatan Kesihatan Daerah Melaka Tengah telah mengeluarkan notis tindakan penutupan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Penutupan selama 14 hari itu bermula 29 Oktober lalu jam 2 petang hingga 12 November 2018,” tegasnya.

Lawatan Chee Leong ke sekolah terbabit berikutan keracunan makanan melibatkan pelajar pada 25 Oktober lalu disyaki berpunca dari memakan sambal udang di dapur asrama terlibat.

Turut serta dalam lawatan itu, Pegawai Epidemologi, Unit Epid, Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Dr. Nurmawati Ahmad; Pengetuanya, Karim Tumin dan Pegawai Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Dr. Rusdi Abd. Rahman.

Dalam kejadian tersebut, seramai 108 pelajar didapati cirit birit, muntah, loya dan sakit perut selepas menikmati makanan di kantin asrama sekolah berkenaan.

Seramai 25 pelajar telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Unit Kecemasan Hospital Melaka, 30 pelajar dirawat sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Peringgit, selebihnya dirawat oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.

Dalam kejadian itu, tiada kes dirawat sebagai pesakit dalam dan pihak Pejabat Kesihatan Melaka Tengah telah menjalankan pemeriksaan di premis tersebut pada 25 Oktober 2018.

Didapati penilaian risiko yang dibuat adalah 79 peratus dan dapur asrama tersebut telah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 pada 25 Oktober hingga 8 November 2018.

Setakat ini, pihak Pejabat Kesihatan masih menunggu keputusan dari sampel makanan yang telah dihantar ke makmal untuk analisa. Kajian lanjut penemuan ini sedang dijalankan.

Chee Leong mengingatkan pengusaha kantin sekolah dan asrama di negeri ini wajib menghidangkan makanan selamat dan nutrisi demi kesihatan pelajar.

“Jabatan Kesihatan juga akan terus melakukan pemantauan berhubung isu keselamatan makanan dan memberi keutamaan terhadap kebersihan serta keselamatan pengguna,” jelasnya.

Oleh itu, kedua-dua kantin diarah tutup 14 hari untuk kerja-kerja pembersihan dan pembaikan.

Pengusaha kantin juga diingatkan wajib hidangkan makan yang selamat dan nutrisi demi kesihatan pelajar-pelajar.

CATEGORIES
TAGS