111 pelajar sertai Program Pengantarabangsaan: International Discourse Ar-Risalah

ALOR GAJAH 25 Jan. – Seramai 111 pelajar Yayasan Wakaf Ar Risalah menyertai Program Pengantarabangsaan: International Discourse Ar-Risalah di Dewan Syura Al-Mizan, Univerisiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah, hari ini.
Program yang disertai lima pensyarah Yayasan Ar Risalah diketuai Muhammad Saleh Zulfahmi itu dirasmikan Rektor UiTM Cawangan Melaka, Prof. Madya Datuk Sabariah Mahat.
Menurut Muhamad Saleh, program pengantarabangsaan itu anjuran Unit Memorandum dan Persefahaman (MoU), Bahagian Pusat Jaringan Industri, UiTM Cawangan Melaka.
Katanya, ia bertujuan memberi perkongsian idea dan pengalaman kepada pelajar serta pensyarah Yayasan Waqaf Ar-Risalah Madrasah Aliyah (MA), Perguruan Islam Ar-Risalah, Padang Indonesia serta panel dan pelajar dari Persatuan Youth Empowerment Society (YES) UiTM Cawangan Melaka.
“Selain perkongsian daripada pelajar YES, program juga diselitkan dengan pameran produk pelajar-pelajar i-PROVA.
“Selain ceramah Motivasi Pendidikan Tinggi Islam Mendepani Alaf Baru daripada Prof. Madya Dr. S Salahudin Suyurno, KPP ACIS dan Motivasi Ekonomi dalam Perspektif Islam oleh Dr. Mohd Zaid Mustafar,” katanya.
Muhammad Saleh turut berterima kasih atas aktiviti perkongsian dari pelajar dan penceramah dari UiTM Cawangan Melaka yang memberikan pendedahan baik kepada pelajar.
Sementara itu, Sabariah dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Cawangan Melaka dalam menjayakan jalinan usaha sama bersama kedua pihak.
“Program ini bukan saja dapat melahirkan graduan berciri holistik dan mewujudkan jaringan akademik, malah dapat memberi inspirasi kepada kedua-dua pihak melalui perkongsian idea dan pengalaman yang lebih mapan,” katanya.