13 atlet cemerlang di Sukan Sea Filipina 2019 tuai hasil

AYER KEROH 4 Feb. – Seramai 13 atlet kelahiran Melaka yang menghadiahkan pingat buat negara pada kempen Sukan Sea Ke-30 di Filipina baru-baru ini menerima RM146,000 insentif disampaikan kerajaan negeri, sebentar tadi.
Kejayaan itu menyaksikan atlet kelahiran negeri membawa pulang lima pingat emas, enam pingat perak dan lapan gangsa dalam sukan gimnastik, artistik, badminton, memanah, olahraga, hoki, bola keranjang dan ragbi, dari keseluruhan 184 pingat.
Pada temasya berkenaan, Malaysia mengakhiri kempen di tangga kelima dari keseluruhan 11 negara yang bertanding.
Antara penerima berkenaan ialah Aaron Chia yang menerima RM18,000, Goh Soon Huat (RM16,000), Ong Yew Sin (RM14,000), Tan Ing Yueh (RM14,000).
Diikuti, Lee Meng Yean (RM12,000), Yap Cheng Wen (RM12,000), Mohd Juwaidi Mazuki (RM10,000), Tracie Ang (RM10,000), Muhammad Firdaus Omar (10,000), Nur Aisyah Yaacob (RM10,000), Khairul Hafiz Jantan (RM8,000), Tai Chia Qian (RM6,000) dan Nurul Azreen Azli (RM6,000).
Kesemua insentif telah diserahkan Ketua Menteri, Adly Zahari.
Sementara itu, Adly berharap atlet muda yang bakal membarisi kontinjen negeri ini ke Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020, menjadikan kejayaan atlet Melaka Sukan Sea sebagai pembakar semangat.
“Ini sekali gus meningkatkan semangat dan motivasi serta menyuntik inspirasi supaya sasaran mencapat pingat emas dalam acara yang disertai mereka dicapai.
“Bagi mencapai sasaran kemenangan pada SUKMA ke-20, kerajaan negeri berharap kerjasama antara bapa angkat dan jabatan angkat dengan pasukan sukan masing-masing dapat ditingkatkan.
“Ini termasuk memberi fokus terhadap latihan, menyokong dan memberi semangat kepada atlet secara berterusan di samping melihat keperluan kebajikan pasukan dari semua aspek,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Bapa Angkat, Jabatan Angkat dan Anak Angkat sempena SUKMA Ke-20 Johor 2020 di Auditorium Seri Negeri, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hassan dan barisan Exco Kerajaan Negeri.