14 kes denggi direkodkan di DUN Durian Tunggal
#inirumahkita

DURIAN TUNGGAL 26 Feb – Kira-kira 14 kes denggi direkodkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal sejak Disember 2019 hingga Februari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, bagi membasmi wabak itu sebanyak tiga kali program gotong-royong dilaksanakan di DUN berkenaan.
“Gotong-royong untuk denggi kita dah buat tiga kali di mana dua kali di Rumah Awam Seri Siantan dan sekali di Taman Cempaka.
“Fokus kita di kawasan-kawasan ini kerana ia kawasan yang sering dilanda kes denggi,” katanya ketika dihubungi MelakaKini.
Jelasnya, penduduk dinasihati supaya mengamalkan gaya hidup sihat dengan membuang sampah ke dalam tong yang disediakan di setiap kawasan.
“Pastikan barangan buangan seperti kereta buruk, besi-besi buruk dan lain-lain dilupuskan dan dibuang sekali gus membasmi wabak penularan denggi,” katanya.
Terdahulu Mohd Sofi menghadiri gotong-royong membersihkan kawasan Taman Cempaka, baru-baru ini.
Hadir pada program itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pulau, Abdul Wahid, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Cempaka, Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).