140 kilogram sampah dikutip di pesisir Pantai Kemunting – KUIM
#inirumahkita

PENGKALAN BALAK 13 Feb – Sebanyak 140 kilogram sampah berjaya dikutip menerusi Program Kempen Bersih Pantai di pesisiran Pantai Padang Kemunting, baru-baru ini.
Pengarah Program, Mohamad Hakim Mohd Edris berkata, aktiviti itu memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk turun ke lapangan bersama masyarakat.
Menurutnya, ia sekali gus memberi khidmat bakti mengenai kesedaran awal kepentingan pemeliharaan kawasan pantai.
“Aktiviti ini dilakukan sepanjang 700 meter di pesisiran Pantai Padang Kemunting dan disertai hampir 80 mahasiswa dan mahasiswi dari Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan Islam (SMPI) KUIM.
“Program ini mampu menjaga keseimbangan ekosistem khususnya haiwan seperti penyu yang memilih kawasan pantai sebagai tempat untuk bertelur,” katanya pada program tersebut.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Kemunting, Zainal Hassan dan Dekan Fakulti Keilmuan Islam KUIM, Dr. Mohd Nazli Omar.
Sementara itu, Zainal berkata, kerjasama MPKK dan KUIM diharap berterusan dalam menunjukkan keprihatinan ke arah menjadikan pesisiran pantai bersih.
“Tanggungjawab menjaga kebersihan perlu menjadi peranan semua pihak supaya pantai sentiasa bersih demi menjaga kelangsungan hidupan laut seperti penyu,” katanya.
Program itu anjuran Barisan Kepimpinan Islamic Management and Development Club (ISMADEC), mahasiswa dan mahasiswi jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan Islam KUIM.
Ia diadakan dengan kerjasama Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Tanjung Bidara, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Kemunting dan ISMAH Beach Resort Melaka.