150,000 pengunjung naik MRC dua bulan pertama

PERINGGIT 19 Mac – Seramai 150, 000 pengunjung dicatatkan menaiki bot pelancongan Melaka River Cruise (MRC) setakat Januari hingga Februari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin berkata, bagaimanapun jumlah tersebut mencatatkan sedikit penurunan berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Beliau memberitahu, pengurangan jumlah pengunjung itu berikutan pihak pengurusan membuat penutupan pengoperasian selama tiga hari bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan, selain mengadakan kursus kepada semua kakitangan PPSPM bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan.
Jelasnya, biarpun terdapat pengurangan namun beliau yakin sasaran 1.5 juta pengunjung yang menyusuri Sungai Melaka dengan menaiki bot MRC pada tahun ini akan tercapai.
“Ini sekali gus dapat membantu kerajaan negeri yang mensasarkan jumlah kedatangan pelancong ke Melaka seramai 20 juta pada tahun ini bersempena Tahun Melawat Melaka 2019 (TMM-2019),” katanya.
Azlan berkata kepada media sempena Program Khidmat Sosial Korporat (CSR) PPSPM Pembersihan Sungai Melaka Fasa-2 di Peringgit, Ahad lalu.
Gotong- royong terbabit turut disertai pelajar- pelajar Kolej Profesional MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Kolej Komuniti Bukit Beruang, Universiti Kuala Lumpur (UNIKL), SWCoRP, Giat MARA, Jabatan Pertahanan Awam (JPM) dan Jabatan Pengairan dan saliran (JPS) termasuk warga PPSPM yang melibatkan lebih 120 penyertaan untuk membersihkan sekitar Sungai Melaka Fasa-2 yang merangkumi jarak hampir tiga kilometer.
Sehubungan itu, Azlan mengingatkan masyarakat yang tinggal berhampiran dengan persisiran Sungai Melaka agar bersama- sama menjaga kebersihan sungai tersebut.
“Ini kerana, Sungai Melaka adalah unik dan merupakan salah satu sungai yang terpenting di negeri ini berikutan ianya mampu penyumbang kepada pendapatan negeri.
“Sungai ini amat berbeza dengan sungai-sungai yang terdapat di negeri lain dan seharusnya kita menjaga sungai kita ini dengan sebaik- baiknya,” tegas Azlan.