2, 155 lot tanah kerajaan diceroboh – Adly

2, 155 lot tanah kerajaan diceroboh – Adly

AYER KEROH 18 Mac – Sejumlah 2, 155 lot tanah kerajaan yang diduduki dan diceroboh, dicatatkan melibatkan tiga daerah di negeri ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, antara lot- lot tanah yang diceroboh di dalam daerah Melaka Tengah, termasuk mukim Ayer Molek (tanah rizab jalan Jabatan Kerja Raya), Duyong (tanah rizab Majlis Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka), Tangga Batu (bangunan milik Jabatan Agama Islam Melaka), Kawasan Bandar XLV (rizab pantai), XXXVII (rizab jalan), XXXI (rizab parit Jabatan Pengairan dan Saliran dan Paya Rumput (rizab jalan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah) melibatkan lapan penceroboh.

Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil memberitahu, bagi daerah Alor Gajah, mukim terlibat adalah Durian Tunggal, Rembia, Gadek dan Machap (jalan keretapi lama), Sungai Baru Ulu dan Machap (kedua-duanya rizab jalan) yang membabitkan 2,145 penceroboh.

“Manakala bagi daerah Jasin, kawasan yang terlibat adalah Jus, Selandar dan Batang Melaka (empangan Jus) dan Sungai Rambai (pencerobohan tanah kerajaan di dalam kawasan permohonan secara berkelompok, tanaman padi beras wangi),” katanya.

Adly berkata, antara langkah diambil oleh Pentadbir Tanah Negeri bagi menyelesaikan isu terbabit adalah dengan menghantar notis pencerobohan yang dikeluarkan kepada penceroboh.

“Sekiranya enggan berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil selaras kepada Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 akan dikuatkuasakan.

“Namun begitu, bagi kawasan tanah kerajaan seperti rizab keretapi dan tanah-tanah rizab yang lain, di mana kerajaan tiada perancangan pembangunan, permohonan pemilikan tanah kerajaan boleh dikemukakan oleh individu terlibat ke Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dengan bayaran premium tanah yang akan ditentukan pihak berkuasa negeri, sekiranya diluluskan,” jelasnya.

Adly berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan ADUN Rim, Datuk Wira Ghazale Muhamad (BN) yang dibawakan ADUN Merlimau, Datuk Roslan Ahmad (BN) berikutan Ghazale sedang menunaikan ibadah Umrah.

Selain Roslan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Utama, Ir. Idris Haron (BN) dan ADUN Ayer Limau, Datuk Amirudin Yusof (BN) turut mengambil bahagian pada sesi soalan tambahan pada hari kedua Persidangan Pertama, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke- 14 di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Adly memberitahu, sejak Mei 2018 hingga 15 Mac lalu, terdapat dua lot tanah rizab dalam daerah Melaka Tengah yang telah diluluskan Lesen Pendudukan Sementara iaitu kedua-duanya di Batu Berendam yang merupakan kawasan lapang (membina kedai gunting rambut – berkeluasan 65 meter persegi) dan kawasan jalan (membina gerai – berkeluasan 167 meter persegi).

CATEGORIES