2020 fokus utama realisasi pembangunan KLIP

Sama-sama kita realisasikan...

2020 fokus utama realisasi pembangunan KLIP

AYER KEROH 3 Feb. – Kerajaan negeri mahu pelaksanaan projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) menjadi fokus utama pembangunan Melaka sekali gus memberi impak ekonomi kepada rakyat di negeri ini pada tahun ini.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, dalam tempoh satu tahun setengah perancangan pembangunan itu, pelbagai perancangan direncanakan bagi memastikan hasrat besar kerajaan negeri itu menjadi kenyataan.

Jelasnya, antara perancangan yang telah dimuktamadkan termasuk menyiapkan urusan persempadanan antara Melaka dan Negeri Sembilan serta perkara berkaitan sempadan perairan.

“Kita harus melihat ke hadapan dan banyak perancangan yang harus kita lakukan kerana melalui pembangunan KLIP ini dengan mengambil keupayaan Melaka sebagai pelabuhan secara semulajadinya, kita yakin pembangunan KLIP ini dapat dimulakan bagi tahun 2020.

“Sebab itu, saya mengharapkan semua yang terbabit dalam pembangunan ini dapat memberikan fokus dan menjayakan pembangunan tersebut,” katanya ketika menyampaikan Amanat Februari 2020 menerusi laman Facebooknya.

Adly berkata, beliau yakin dengan pelaksanaan KLIP pada tahun ini, projek pembangunan pelabuhan yang menjadi salah satu daripada cita-cita besar kerajaan negeri itu dapat memberikan impak ekonomi kepada rakyat Melaka.

“Kita yakin, ia dapat memberikan peluang pekerjaan kepada hampir 6,000 orang terutama rakyat Melaka.

“Sebab itu, usaha kita sendiri untuk membangunkan pembangunan KLIP ini perlu diberi fokus penting dan saya yakin kita semua perlu bekerjasama supaya apa yang dicita-citakan dapat dijayakan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS