5 kali mohon rumah PPRT, akhirnya Norhairani dapat Rumah Peduli

Syukur Alhamdulillah., tercapai impian....

5 kali mohon rumah PPRT, akhirnya Norhairani dapat Rumah Peduli

 

REMBIA 14 Feb – “Alhamdulillah, syukur tidak terhingga selepas 21 tahun berkahwin akhirnya dapat miliki rumah sendiri,” kata Norhairani Jaafar, 39, ketika ditemui di Rembia, hari ini.

Norhairani yang merupakan suri rumah manakala suaminya Jefri Zaidi, 45, seorang pengawal keselamatan melahirkan kesyukuran selepas impian mereka untuk memiliki rumah sendiri menerusi program Rumah Peduli tercapai.

Menurut Norhairani, sebelum ini dia pernah memohon rumah Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT), namun permohonannya ditolak hampir lima kali atas sebab tertentu.

“Alhamdulilah, selepas penghulu dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di sini maklumkan Rumah Peduli ada kosong saya terus mohon awal tahun 2019.

“Tak sangka membuahkan hasil, saya dapat tahu dalam bulan enam tahun lalu permohonan saya lulus dan Disember lalu rumah ini siap dibina sepenuhnya,” katanya.

Norhairani berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Peduli Norhairani Jaafar bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia di Kampung Sungai Petai, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Ketua Menteri, Adly Zahari.

Katanya, tanah pembinaan rumah itu adalah peninggalan warisan arwah ibunya.

“Tanah ini milik emak saya, memang saya harap sangat dapat rumah ni, syukur dapat meringankan beban menyewa rumah sebelum ini sebanyak RM350 sebulan.

“Sebelum ini saya menyewa di Rumah Awam Sungai Petai, dengan anak lelaki seramai tiga orang adanya rumah ini dapat menceriakan lagi kami sekeluarga,” katanya.

CATEGORIES