22 TASKA dikesan tidak berdaftar
Pastikan hanya TASKA berdaftar sahaja untuk anak-anak anda....

ALOR GAJAH 5 Feb. – Sebanyak 22 Taman Asuhan Kanak- Kanak (TASKA) yang beroperasi di negeri ini dikesan masih belum berdaftar.
Exco Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ginie Lim Siew Lin berkata, setiap TASKA yang beroperasi perlu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.
“Sepanjang tahun lalu sebanyak 16 TASKA diarahkan tutup selepas beroperasi tidak mengikut garis panduan dan prosesur operasi standard.
“Proses pendaftaran itu penting dan JKM akan melakukan pemeriksaan serta penguatkuasaan agar jumlah TASKA tidak berdaftar dapat dikurangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di Sekolah Kebangsaan Lesong Batu, di sini, hari ini.
Ginie berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 87 TASKA berdaftar direkodkan di seluruh negeri ini.
“Kesemua pemilik atau pengusaha TASKA perlu berdaftar kerana ia penting demi keselamatan anak asuhan.
“Dalam memastikan TASKA itu berdaftar JKM sentiasa berhubung dengan pemilik dan pengusaha agar mereka dapat memenuhi garis panduan yang ditetapkan oleh agensi terbabit,” katanya.