3 kali AirAsia luah hasrat : Harap operasi LTAM jadi kenyataan

BATU BERENDAM 30 Okt. – Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) akan dinaik taraf sebagai lapangan terbang serba lengkap di negeri ini.
Selain menurunkan kadar caj penumpang sebagai syarat bagi membolehkan syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia itu memulakan operasi di negeri ini.
Pengumuman Air Asia yang sekali lagi menyatakan komitmen pihaknya akan memulakan operasi di LTAM bermula 2019 mencetuskan pro dan kontra dalam kalangan penduduk.
Ini kerana syarikat penerbanagn itu sebelum ini telah beberapa kali memberi kenyataan sama namun, AirAsia sehingga kini masih tidak lagi beroperasi.
Terdahulu, pada minggu lalu Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen
menyatakan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes positif terhadap usaha tersebut dan berharap kali ini dapat merealisasikan hasrat yang lama tertangguh itu.
Menurut Tony, AirAsia menunjukkan minat untuk memulakan operasi ke beberapa laluan, antaranya Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Langkawi, Singapura, PekanBaru, Medan, Jakarta, Shantou dan Saigon menggunakan pesawat Airbus A320.
Namun, ia perlu mematuhi beberapa syarat bagi memulakan penerbangan dari terminal LTAM.
Ketua Menteri, Adly Zahari dalam respon mengenai perkara itu berkata, permintaan syarikat penerbangan terbabit supaya menurunkan kadar caj kepada penumpang sudahpun mendapat persetujuan dari Kementerian Pengangkutan.
“Kebenaran menurunkan caj dari Kementerian Pengangkutan itu juga sudah dipersetujui dan kini hanya menunggu janji dari AirAsia saja,” kata Adly.
Tambah beliau lagi, kemudahan utiliti di LTAM juga menepati syarat untuk digunakan oleh beberapa pesawat ke destinasi yang disenaraikan walaupun penggunaannya tidaklah begitu banyak.
“Cuma destinasi lebih jauh seperti di luar benua Asia memerlukan sedikit penambahbaikan dari segi landasan,” katanya lagi.
Sebagai rekod, pada Jun 2012 Pesawat Airbus 320 Air Asia pernah melakukan pendaratan percubaan dikendalikan oleh Kapten Rejesh Gill dan dibantu oleh Kapten Aaron Louis di LTAM sebagai alternatif sekiranya berlaku sebarang kemungkinan atau berdepan masalah ‘cuaca buruk’.
Kemampuan mendarat itu, sekali gus membuktikan bahawa LTAM sebenarnya mampu menguruskan semua jenis pesawat yang mendarat di situ walaupun ada pihak mendakwa landasan di LTAM agak pendek dan menyukarkan juruterbang melakukan pendaratan.
Kemudian pada Jun 2014 pula, AirAsia sekali lagi membayangkan hasrat untuk memulakan operasi di LTAM dan menawarkan penerbangan dari Melaka ke Kalimantan dan Sumatera di Indonesia dan meneruskan penerbangan ke destinasi lain termasuk negara China.
Bagaimanapun, keinginan untuk merealisasikan hal tersebut kata Pengerusi Eksekutifnya ketika itu, Datuk Kamarudin Meranun, turut berkait rapat dengan beberapa perkara termasuk pulangan kewangan diperoleh selain faedah bagi kedua-dua pihak.
Kamarudin memberitahu, pihaknya juga membuat kajian dan telah menubuhkan kumpulan penyelidik bagi mengumpul maklumat sebelum memulakan operasi penerbangan di lapangan terbang tersebut dan berkeyakinan tinggi terhadap kemampuan LTAM memacu industri pelancongan di negeri ini.
Pada 21 Mei 2017, sekali lagi syarikat penerbangan tambang rendah itu menawarkan penerbangan terus ke Guangzhou, China dan Jakarta, Indonesia menerusi LTAM, namun masih belum dapat mengesahkan sebarang tarikh penerbangan terus ke kedua-dua negara tersebut.
Perkhabaran gembira itu dimaklumkan kepada Ketua Menteri ketika itu Datuk Seri Ir. Idris Haron yang menyambut baik hasrat tersebut.
Beliau menjangkakan Melaka mampu menarik kunjungan lebih ramai pelancong antarabangsa termasuk China dan Indonesia, sekali gus meningkatkan ekonomi negeri ini.
Tony Fernandez pula sebelumnya memuat naik gambar bersama Idris dengan kapsyen ‘AirAsia finally come to Melaka’ dan berkata, LTAM merupakan lapangan terbang antarabangsa sepenuhnya apabila AirAsia menawarkan laluan baharu ‘MKZ-CGK & MKZ-CAN’.
MKZ ialah kod merujuk kepada LTAM, CGK ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno–Hatta di Jakarta, Indonesia, manakala CAN pula ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou Baiyun di Guangzhou, China.