30 unit Rumah Berkat untuk pasangan baru kahwin

AYER KEROH 8 Feb. – Kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Melaka (LPM) perkenal 30 unit rumah di
Pangsapuri Kampung Padang sebagai rumah transit atau Rumah Berkat bagi membantu pasangan suami isteri yang baru berkahwin di negeri ini.
Pengarah Eksekutif LPM, Saleh Mohd Dom berkata, pemohon yang diluluskan boleh mendiami rumah tersebut dengan kadar sewaan serendah RM150 sebulan bagi tempoh sehingga tiga tahun.
“Setakat ini, pihak kita (LPM) dapat tujuh permohonan dan semua pemohon lulus untuk mendiami Rumah Berkat yang hanya dibuat di Rumah Pangsa Kampung Padang bagi Negeri Melaka.
“Mereka boleh dapat rumah ini dengan kadar sewaan cukup murah bagi tempoh hingga tiga tahun,
“Kemudian baru berpindah keluar. Ia seperti dilaksanakan di Selangor iaitu konsep rumah transit,” katanya kepada
MelakaKini di pejabatnya di sini, semalam.
Jelasnya, Rumah Berkat itu sedikit sebanyak dapat membantu pasangan muda yang baru bekerja dan belum memiliki rumah sendiri untuk menyewa dan mengumpul wang untuk membeli
kediaman baharu.