30 warga kerja MPJ sertai program Khatam Al-Quran

30 warga kerja MPJ sertai  program Khatam Al-Quran

JASIN 10 Jun – Telah menjadi tradisi dan amalan setiap kali kedatangan bulan Ramadan, Majlis Khatam Al-Quran akan diadakan khususnya di masjid-masjid mahupun di surau-surau.

Penganjuran Majlis Khatam Al-Quran dilihat sinonim dengan umat Islam dalam usaha menjadikan aktiviti tersebut sebagai salah satu program pengisian rohani.

Sehubungan itu, Biro Agama dan Kebajikan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) tidak ketinggalan menganjurkan program Khatam Al-Quran Ramadan 2018 di Bilik Mesyuarat Utama Vista Alamanda, MPJ di sini, Jumaat lalu.

Yang Dipertua MPJ, Mustaffa Ali berkata, program tahunan tersebut bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan, sekali gus menyemarakkan lagi kedatangan bulan yang mulia ini.

“Seramai 30 warga kerja MPJ terdiri pelbagai jabatan dan jawatan telah menyertai program tersebut. Dengan kehadiran bulan yang mulia ini, dijadikan sebagai bulan untuk kita meningkatkan amal ibadah serta jariah selain medium memperolehi pahala yang berlipatganda,” katanya.

Mustaffa berkata, sebagai menghormati dan memuliakan kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak, program ini perlulah diperbanyakkan.

Beliau berharap program tahunan ini akan lebih mendapat perhatian dan sokongan dalam kalangan warga kerja MPJ pada tahun mendatang.

“Justeru itu, diharapkan amalan khatam al-Quran ini dapat diteruskan bukan saja di bulan Ramadan, tetapi di bulan-bulan lain juga di mana amalan ini merupakan amalan sunat yang amat dituntut dalam Islam,” katanya.

CATEGORIES