Kembalikan peranan Japerun
AYER KEROH 29 Mei – Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) akan terus berperanan sebagai ‘orang tengah’ yang menjadi penyalur maklumat kepada kepemimpinan kerajaan negeri bagi memastikan penyelesaian dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, fungsi Japerun juga dapat menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi rakyat sekiranya dimanfaatkan dengan betul.
Katanya, ini kerana tujuan asal penubuhannya adalah untuk memperkasa dan meningkatkan kualiti sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan negeri terhadap rakyat secara lebih efektif.
Katanya, hari ini peranan Japerun dilihat semakin tidak efektif kerana terdapat banyak masalah dihadapi rakyat tidak diselesaikan.
Selain dan tertangguh dalam tempoh masa agak lama yang akhirnya menjadikan Japerun sebagai sebuah jawatankuasa yang tidak efisien.
“Ini menyebabkan rakyat terpaksa mencari medium lain untuk menyalurkan masalah atau aduan mereka dan hal-hal sedemikian hanya menyebabkan fungsi Japerun tenggelam,” katanya.
Adly berkata demkian kepada pemberita ketika ditemui pada program Hari Bertemu Rakyat di Dewan Seri Bendahara di sini, Jumaat lalu.
Menurut beliau, terdapat pelbagai aduan dan masalah dari rakyat melibatkan pelbagai aspek dan beliau rasa jika Japerun berperanan dengan sebaiknya, rakyat tidak akan datang ke Seri Bendahara dalam sesi Hari Bertemu Rakyat yang diadakan setiap Jumaat.
“Oleh sebab demikian, kita masih belum membuat keputusan untuk membuka Japerun seperti sebelum ini.
“Sebaliknya, melihat kehadiran orang ramai pada hari ini menunjukkan terdapat satu keperluan rakyat kepada pemimpin.
“Saya yakin rakyat perlu bertemu dengan kita secara terus untuk menyampaikan isu berbangkit yang didapati masih tiada penyelesaian dan kita akan teruskan Hari Bertemu Rakyat ini pada setiap minggu,” katanya.
Jumaat lalu, Hari Bertemu Rakyat pertama kali itu mendapat sambutan apabila dikunjungi orang ramai pelbagai latar belakang selain untuk bertemu Ketua Menteri.
Turut mengambil bahagian dalam sesi julung kali itu ialah ketua jabatan dan agensi serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mendengar dan menerima laporan masalah dihadapi rakyat, sekali gus berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik.