40 anak muda ikuti kursus ‘chargeman’ tajaan TNB dikenalpasti

BUKIT KATIL 17 Feb. – Kerajaan negeri sedang mengenal pasti 40 anak muda berusia antara 25 hingga 40 tahun di negeri ini yang layak mengikuti latihan sebagai penjaga jentera elektrik kategori A0 tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, pihaknya sudah menjalin kerjasama dengan TNB yang memberikan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membolehkan anak Melaka menjalani program berkenaan.
“Kita sudah buka tawaran dan sekarang kita masih membuat pemilihan terhadap anak muda yang layak supaya latihan itu dapat dijalankan pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata kepada MelakaKini selepas melancarkan Pertandingan Bola Sepak Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil di Kompleks Jawatankuasa Penyelarasan dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Bukit Katil di sini.
Menerusi ucapan dalam perasmian itu, Adly berkata ramai tidak tahu pendapatan seorang penjaga jentera agak tinggi berbanding kerjaya sebagai jurutera.
Katanya, meskipun tidak memerlukan latarbelakang pendidikan cemerlang, namun kerjaya itu memerlukan keberanian dan keupayaan yang tinggi.
“Ketika saya mula-mula menjadi jurutera dahulu, gaji saya RM2,100 dan di bawah saya ada seorang ‘chargeman’ (penjaga jentera), ketika itu gajinya dua kali ganda daripada saya ketika itu, jadi ramai yang tidak tahu.
“Malah, tidak semua boleh jadi penjaga jentera sebab hendak pegang 11 kV (kilovolt) elektrik bukan mudah, salah pegang boleh membahayakan nyawa.
“Orang yang berani sahaja boleh melakukannya, malah jurutera pun tidak berani,” katanya.