50 peratus hasil kelapa pandan bakal jadi produk `signature’
Melaka bakal jadi `Negeri Kelapa'

FARAH SUHAIDAH OTHMAN
MELAKA 31 Jan. – Projek tanaman kelapa pandan berskala besar yang dibangunkan di negeri ini mampu menghasilkan 1 juta biji kelapa dalam tempoh setahun dan separuh daripada hasil tuaian itu akan dijadikan produk makanan tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd (PPMSB), Hamedi Zakariah berkata, 50 peratus daripada penghasilan tuaian kelapa itu boleh diproses untuk dijadikan bahan makanan seperti santan, coconut shake dan produk ‘signature’ tempatan.
Jelasnya, kesemua hasil produk itu boleh dibekalkan di seluruh negeri di Malaysia serta dieksport ke luar negara seperti Amerika Syarikat dan China.
“Buat masa ini, projek tanaman berskala besar mempunyai keluasan 200 hektar dan kita menjangkakan projek tanaman kelapa pandan ini mampu memenuhi tanah kosong yang ada di sekitar negeri,” katanya ketika dihubungi MelakaKini, di sini hari ini.
Beliau berkata, terdapat dua kawasan berskala besar yang menjalankan projek tanaman kelapa pandan iaitu di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Alor Gajah dengan keluasan 12.14 hektar manakala projek tanaman di Ladang Semujuk mempunyai keluasan 40.48 hektar yang dijalankan oleh PPMSB.
“Dianggarkan kira-kira 185 batang pokok ditanam bagi setiap hektar dengan kos pembangunan mencecah dari RM15,000 hingga RM20,000 untuk setiap hektar.
“Bagi kedua-dua kawasan projek tanaman itu, jumlah keseluruhan tanaman pokok kelapa adalah sebanyak 11,302 dengan pecahan 7,000 di Ladang Semujuk manakala selebihnya di UCAM, Alor Gajah,” katanya.
Dalam pada itu, Hamedi turut mengalu-alukan pembabitan golongan belia untuk membangunkan projek tanaman kelapa pandan menerusi Internet of Things (IoT).
Mengulas lanjut, golongan belia yang mahu menyertai projek tanaman melalui IoT bagaimanapun perlu mempunyai tanah sendiri atau tanah sewa sebagai bukti individu berkenaan mempunyai pemilikan terhadap tanah terbabit.
“Golongan belia dialu-alukan untuk bertemu dengan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee untuk menyertai program berkenaan,” katanya.