514 belia Melaka terima Anugerah Remaja Perdana
Belia harapan bangsa

AYER KEROH 7 Feb. – Seramai 514 belia Melaka yang terlibat secara aktif dalam aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan di negeri ini ditauliahkan sebagai penerima Anugerah Remaja Perdana (ARP) Rakan Muda Tahap Perak dan Gangsa Peringkat Negeri Melaka 2019 di Kolej Yayasan Saad, semalam.
Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Kerk Chee Yee berkata, melalui pentauliahan itu, ia bukan sahaja membuktikan Melaka masih mempunyai generasi muda yang berperibadi mulia dan jati diri terbaik, bahkan ia turut menjadi pemangkin ke arah melahirkan pemimpin masa hadapan yang cemerlang serta mampu menjadi agen perubahan kepada masyarakat.
“Melalui inisiatif program ini ia telah melahirkan golongan belia cemerlang apabila mereka tidak lagi kekok untuk bergaul dengan masyarakat. Ternyata ia memberi manfaat kepada belia dalam mengorientasikan masyarakat belia kepada kerja-kerja kesukarelaan dalam bidang kebajikan dan khidmat masyarakat.
“Selain itu, penglibatan belia dalam program ini juga mampu memberi kesedaran kepada mereka dalam membentuk sahsiah diri yang positif hasil daripada program bersama masyarakat.
“Diharap, usaha dan minat peserta tidak terhenti setakat ini sahaja. Teruskan pula kepada peringkat Anugerah Emas (17 tahun ke atas) dan berusaha hingga ke peringkat lebih tinggi dan seterusnya mengharumkan nama Melaka di persada dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda di Dewan Besar Kolej Yayasan Saad, di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negara, Abdul Aziz Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Melaka, Noorman Ramlan.
Selain belia, majlis tersebut turut mengiktiraf 50 pemimpin dan mentor ARP yang telah melaksanakan tugas dengan baik dalam memimpin para peserta hingga berjaya mencapai tahap perak dan gangsa sepanjang tahun lalu.