57 kes pendakwaan terhadap majikan di Melaka tahun lalu – JTKNM

AYER KEROH 6 Feb. – Sebanyak 57 kes pendakwaan melibatkan majikan di Melaka telah berjaya dilaksanakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Negeri Melaka (JTKNM) sepanjang tahun 2019 membabitkan denda keseluruhan berjumlah RM104,300.
Pengarah JTKNM, Rosli Jantan berkata, antara kesalahan yang dikesan dilakukan majikan tersebut adalah lewat membayar gaji minimum, gagal melapor pekerja asing yang bekerja di negara ini atau yang telah pulang ke negara asal selepas tamat permit serta melakukan potongan gaji tanpa permit.
Jelasnya, sepanjang tempoh Januari hingga Disember tahun lalu, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap 1,489 tempat pekerjaan di seluruh negeri ini.
“Ketika pemeriksan dijalankan, antara kesalahan yang dikesan termasuk gagal menyimpan serta menyelenggara daftar pekerja serta gagal menyediakan dan memberi perkhidmatan.
“Sepanjang tahun lalu, JTKNM turut menerima 371 kes membabitkan aduan daripada pekerja dan 351 daripada jumlah itu berjaya diselesaikan,” katanya pada sidang media di Menara Persekutuan, di sini semalam.
Katanya aduan utama yang diterima pihaknya adalah majikan lewat atau gagal membayar gaji dalam tempoh ditetapkan.
Rosli berkata, selain melaksanakan penguatkuasaan jabatan itu turut diberi kuasa mengikut Seksyen 69 Akta Kerja 1955 untuk membicarakan kes menerusi Mahkamah Buruh.
Beliau berkata sepanjang tahun lalu sejumlah 633 kes telah difailkan dan sebanyak 571 kes berjaya diselesaikan.
“Jumlah perintah yang dikeluarkan daripada kes yang diselesaikan oleh Mahkamah Buruh adalah sebanyak RM1.04 juta,” tambahnya.