5G tingkat jaringan interaksi penjawat awam, rakyat Melaka

"Sebagai penjawat awam mereka harus ambil maklum berkaitan teknologi ini kerana saya yakin Melaka tidak akan lari dari menggunakan medium 5G ini tidak lama lagi" - Adly

5G tingkat jaringan interaksi penjawat awam, rakyat Melaka

AYER KEROH 3 Feb. – Sistem internet berkelajuan 5G yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini mampu meningkatkan jaringan interaksi yang menjadi kepentingan rakyat khususnya penjawat awam di negeri ini.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, penjawat awam di negeri ini perlu mengambil perhatian berkaitan peranan sistem internet berkelajuan tinggi itu sebagai medium interaksi bagi menyebar mesej berkaitan dasar kerajaan.

“Sebagai penjawat awam mereka harus ambil maklum berkaitan teknologi ini kerana saya yakin Melaka tidak akan lari dari menggunakan medium 5G ini tidak lama lagi.

“Selain itu, teknologi ini berperanan dalam pembangunan pelbagai sektor terutama pertanian dan keselamatan seperti penggunaan teknologi dalam kenderaan serta pelbagai lagi yang memberi manfaat kepada negeri ini.

“Malah, ia juga digunakan dalam sektor kesihatan bagi penjagaan rawatan diri dan apa yang paling penting teknologi 5G ini merupakan medium penting dalam membangunkan Bandar Pintar di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menerusi siaran langsung di platform Facebook pada program Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka, hari ini.

Program yang sebelum ini yang menghimpunkan penjawat awam di Dataran Seri Negeri di sini, bagaimanapun diperbaharui konsepnya dengan menggunakan medium media sosial dan disiarkan secara langsung bagi menyampaikan amanat oleh Adly sendiri.

Menurut Adly, kerajaan negeri mengambil langkah itu bermula bulan ini sebagai memperkasakan penggunaan media digital yang mampu berinteraksi bersama penjawat awam di Melaka.

“Melalui kaedah ini penjawat awam akan menerima maklumat secara langsung terhadap apa yang disampaikan melalui medium alam maya agar terus bangun dan menggerakkan Melaka yang berwibawa ini,” katanya.

CATEGORIES
TAGS