68 peratus janji manifesto berjaya ditunaikan
Alhamdulillah..segalanya berjalan lancar. Terbaikk...

AYER KEROH 10 Mei- Genap setahun di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebanyak 68 peratus daripada janji-janji dalam manifesto telah ditunaikan bagi tempoh tersebut.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata dari jumlah keseluruhan janji tersebut, ianya berjaya dilaksanakan dalam bentuk pelaksanaan program serta merubah polisi-polisi kerajaan negeri di samping memulakan program kebajikan, pendidikan dan keselamatan sekali gus meningkatkan ekonomi kerajaan negeri.
Katanya, bagi tempoh 5 tahun kerajaan negeri memberi lebih banyak impak positif dalam pentadbiran kerajaan hari ini apabila mampu memberi melebihi daripada apa yang dijanjikan
“Jika kita beri lebih dari apa yang kita janjikan, dikira bonus kepada kami dan yang paling penting kita tidak rugi apa-apa kerana sebahagian daripada apa yang dilaksanakan tidak kita nyatakan dalam manifesto kita.
“Kerajaan negeri di landasan yang betul apabila sebanyak 68 peratus daripada janji manifesto itu telah berjaya ditunaikan manakala berbaki 32 peratus masih dalam proses untuk diselesaikan.
“Antara pencapaian yang telah berjaya kita capai dengan menambah baik polisi kerajaan negeri, menyelesaikan hutang kerajaan negeri, menyelesaikan isu berkenaan dengan pengangkutan awam, kemudahan awam, perumahan, pertanian, pendidikan dan paling penting ianya meningkatkan taraf ekonomi rakyat negeri ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perhimpunan Khas Setahun Pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Melaka di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Adly berkata, peringkat kerajaan negeri, asas penjimatan telah dilakukan, dan banyak lagi usaha-usaha untuk memajukan Melaka akan kita laksanakan serta kini kita sudah berada di landasan yang betul.
“Pelbagai usaha akan dilaksanakan untuk meletakkan kembali negeri Melaka sebagai negeri tersohor bukan sahaja di Malaysia tapi juga di rantau ini di bawah pimpinan PH,” katanya.