7 pegawai, anggota polis terlibat dadah tahun lalu

7 pegawai, anggota polis terlibat dadah tahun lalu

AYER KEROH 26 Feb. – Terdapat tujuh tangkapan membabitkan kes penyalahgunaan dadah ke atas pegawai dan anggota polis di negeri ini, tahun lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, manakala sebanyak lapan kes tangkapan ke atas pegawai dan anggota direkodkan pada tahun 2017.

Menurutnya, walaupun jumlahnya masih rendah iaitu 0.01 peratus, namun pihaknya memandang serius terhadap kes tersebut kerana ia memberi gambaran negatif terhadap pihak berkuasa itu yang bertanggungjawab dalam penguatkuasaan undang-undang.

“Berdasarkan rekod pegawai dan anggota terlibat berusia 28 hingga 49 tahun manakala pangkat tertinggi pegawai terlibat penyalahgunaan dadah membabitkan individu berpangkat Inspektor.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mereka yang terbukti terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Melaka, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Sementara itu, statistik kes jenayah berkaitan narkotik di negeri ini menunjukkan penurunan sebanyak 330 kes pada tahun lalu berbanding tahun 2017.

Raja Shahrom berkata, bagi tempoh tersebut sebanyak 3,381 kes berkaitan narkotik dilaporkan pada tahun lalu berbanding 3,711 kes tahun sebelumnya.

Menurutnya, dari jumlah itu sebanyak 4,265 tangkapan dibuat pada 2018 makakala 2017 mencatatkan 4,537 tangkapan dengan penurunan sebanyak 272 kes.

“Pembabitan masyarakat dalam penyalahgunaan dadah di negeri ini begitu membimbangkan meskipun statistik kes pada 2018 menunjukkan penurunan.

“Kita telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terus agresif menjalankan aktiviti membanteras penyalahgunaan dadah dalam masyarakat dan fokus utama perlu diberikan kepada pelajar sekolah dan penuntut IPT,” katanya.

CATEGORIES