74 peratus pemilik tanah di Melaka bayar cukai

74 peratus pemilik tanah  di Melaka bayar cukai

AYER KEROH 10 Jun – Tidak kurang dari 74 peratus pemilik tanah di negeri ini menjelaskan bayaran cukai tanah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Roslan Ibrahim berkata, peratusan itu boleh disifatkan sebagai memuaskan.

Namun akan dipertingkatkan lagi menerusi pelbagai kempen yang dijalankan oleh pejabat tanah dan galian bagi ketiga-tiga daerah untuk meningkatkan lagi hasil pendapatan dari bayaran cukai tanah.

“Sehingga hari ini, dari rekod kira-kira 74 peratus pemilik tanah di Melaka selesai membayar cukai tanah bagi ketiga-tiga daerah.  Selain mengadakan lebih banyak promosi lagi demi memastikan jumlah kutipan meningkat, ini berikutan 60 peratus sumber pendapatan kerajaan negeri adalah hasil cukai tanah,” kata Roslan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Cabutan Kempen Bayar Cukai Tanah & Menang Pejabat Tanah & Galian Negeri Melaka di Wisma Negeri Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, Jumaat lepas.

Roslan berkata, kerajaan negeri tidak bergantung harap kepada sumber hutan berikutan pendapatan sumber hutan negeri ini berkurangan berbanding dapatan hasil cukai tanah.

“Hasil hutan Melaka tidak sampai RM1 juta walau ada tiga kawasan hutan di negeri ini iaitu di Bukit Senggeh, Asahan dan Masjid Tanah. Kerajaan negeri juga tidak mahu teruskan aktiviti hutan (hasil hutan) bukan kerana kurang pendapatan.

“Tetapi disebabkan aktiviti hutan beri kesan kepada sungai dan cemarkan ekosistem hijau Melaka, bila sungai tercemar kerajaan negeri dan jabatan terlibat kena keluar belanja bersihkan sungai. Di situ libatkan kos jadi, keputusan sudah dibuat di mana aktiviti korek pasir atau apa saja aktiviti hutan dihentikan,” kata Roslan.

Menerangkan lebih lanjut berhubung ganjaran dan cabutan bertuah kepada pembayar cukai di negeri ini, Roslan berkata, cabutan nama bertuah dilakukan kerajaan negeri dan Pejabat Tanah & Galian Melaka pada hari ini adalah untuk pembayar-pembayar cukai yang membayar cukai bermula 1 Januari 2018 hingga 31 Mei 2018.

“Memberi ganjaran dalam bentuk cabutan bertuah kepada pembayar cukai adalah sebahagian aktiviti tahunan kerajaan negeri bersama Pejabat Tanah & Galian Negeri, ia adalah sebahagian cara kita untuk menghargai pembayar cukai. Pada hari ini saja, 125 pembayar cukai tanah telah menerima hadiah cabutan bertuah, ada antara mereka menerima hadiah utama iaitu gajet I-Pad, motosikal, barangan elektrik dan hamper makanan.

“Selain ada pembayar cukai menang baucar bernilai RM150 dan kos keseluruhan hadiah ditawarkan berjumlah RM50,000,” katanya.

Hadir sama di majlis itu, Pengarah Pejabat Tanah & Galian Negeri Melaka, Zaidi Johari; Pegawai Daerah Melaka Tengah, Datuk Anis Ali Hasan@Mohd Yasam. Turut hadir, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan selain wakil-wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

CATEGORIES