80 peratus aduan rakyat selesai

Kerajaan prihatin

80 peratus aduan rakyat selesai

AYER KEROH 4 Nov. – Kerajaan negeri menyelesaikan lebih 80 peratus aduan rakyat di negeri ini meliputi pelbagai aspek.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, hanya terdapat beberapa aduan tidak dapat diselesaikan terutama melibatkan isu-isu kerakyatan.

“Ini termasuklah isu kewarganegaraan dan isu pekerja asing kerana bidang kuasa bukan di bawah kerajaan negeri.

“Bagaimanapun kita tetap bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan aduan-aduan ini boleh diatasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Bulan November di Dataran Seri Negeri, baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar dan Exco-Exco Kerajaan Negeri.

Jelasnya, setakat ini kerajaan negeri menggunakan aplikasi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) bagi rakyat membuat aduan mereka.

“Kita sudah ada sistem cuma kita mahu tingkatkan sahaja sistem itu. SISPAA satu sistem pengaduan awam yang sistematik kerana kita mempunyai data tersebut.

“Ada lebih 7,000 aduan setahun kita terima melalui SISPAA, manakala lebih 2,000 aduan pula diterima melalui Hari Bertemu Rakyat (HBR),” katanya.

Katanya, kerajaan negeri cuba mengkoordinasikan aduan-aduan tersebut termasuk melihat aplikasi aduan yang lebih baik di masa akan datang.

“Ada sesetengah aduan perlukan kerjasama masyarakat, kita tidak lihat aduan dari aspek negatif tetapi melihat dari segi strukturnya.

“Aduan itu sebahagian daripada struktur untuk memastikan sistem kita berfungsi selain melihat mereka yang membuat aduan ini akan menerima insentif,” katanya.

Pada perhimpunan tersebut turut diadakan Majlis Pelancaran Kaunter Bergerak Pejabat Daerah dan Tanah.

CATEGORIES
TAGS