813,400 pelancong Indonesia lawat Melaka

813,400 pelancong Indonesia lawat Melaka

JAKARTA (INDONESIA) 26 Feb. – Melaka mencatatkan kedatangan pelancong Indonesia seramai 813,400 orang pada 2017 iaitu peningkatan sebanyak 6.89 peratus berbanding 760,984 orang pada tempoh yang sama tahun 2016.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ia sekali gus menjadikan pelancong Indonesia sebagai pelancong asing ketiga terbesar yang melawat Melaka selepas Singapura dan China.

Jelasnya, kerajaan negeri juga menyedari bahawa pelancongan kesihatan menyumbang kehadiran ramai pelancong dari Indonesia dengan catatan 100,645 orang daripada 113,951 pelancong yang mendapatkan rawatan di Melaka tahun 2018.

“Indonesia merupakan pasaran pelancong kesihatan yang paling menonjol dan kebanyakannya mendapatkan rawatan di empat hospital pakar yang terdapat di Melaka iaitu Hospital Pakar Putra, Mahkota Medical Centre, Hospital Pantai dan Oriental Melaka Straits Hospital.

“Hospital-hospital ini bukan sahaja menawarkan kepakaran yang terbaik dari segi perubatan tetapi juga dari segi kos rawatan adalah separuh lebih rendah berbanding kos di Singapura dan Jakarta,” jelasnya.

Adly berkata demikian semasa berucap merasmikan Minggu Pelancongan Negeri Melaka &
Majlis Perasmian Galeri Melaka 2019 di Galeri Melaka, Padang Kota Tua, Gedung Pos Jakarta Barat, Indonesia, Sabtu lalu.

Hadir sama, Kepala Dinas Pariwisata dan Kebudayaan Provinsi DKI Jakarta, Asiantoro; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhamad Jailani Khamis; Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia Jakarta, Zamshari Shaharan dan Pengarah, Tourism Malaysia Jakarta, Roslan Othman.

Turut hadir, Pengurus Besar, Tourism Melaka, Zairi Suboh; Pengurus Besar, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Fadhilah Md. Saleh.

Dalam pada itu Adly menambah, bermula 1 Januari lalu, kerajaan negeri mensasarkan 20 juta pelancong mengunjungi Melaka menjelang akhir Disember ini bersempena Tahun Melawat Melaka (TMM 2019).

“Sasaran ini selari dengan hasrat kerajaan Malaysia untuk mencapai angka 36 juta pelancong menjelang 2020.
Secara relatifnya, jumlah ini agak besar tetapi saya percaya dengan segala perancangan yang dibuat, kita boleh mencapainya,” ujarnya.

Adly memberitahu, antara pendekatan baharu yang dilaksanakan sempena TMM-2019 adalah dengan menawarkan kupon diskaun di 28 tempat tarikan pelancong selain menyediakan lebih 186 acara pelancongan dengan 11 dari adalah acara utama.

“Antaranya, Raptor Watch: 9 – 10 Mac 2019; Melaka Historic City Celebration: 15 April 2019; Pesta San Pedro: Jun 2019; Melaka World Heritage Unesco Celebration: Julai 2019 dan Pesta Durian & Buah-Buahan: Julai 2019.

“Acara lain adalah, Melaka Food Festival: Ogos 2019; Melaka By The Sea Carnival: September 2019; Fiesta Melaka: Oktober 2019; Melaka International River Festival: Nov. 2019 dan Melaka Countdown Fiesta: Dis. 2019 selain lain-lain acara yang menarik pada tahun 2019 nanti,” katanya.

Sehubungan itu menurutnya, beliau mohon agar semua penggiat industri pelancongan di Jakarta mahupun di Melaka dapat bersama-sama menjalin kerjasama dalam memeriahkan lagi TMM-2019.

CATEGORIES
TAGS