MALIM 26 Okt. – Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri Melaka terus komited melaksanakan program Baiti Jannati dan Rumahku Syurgaku bagi membantu memberikan kehidupan yang lebih selesa kepada masyarakat.

Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Negeri Melaka, Bahagian Pembahagian TNB, Ir. Ahmad Rezahan Mohammad berkata, program itu adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya yang dilaksanakan pada setiap tahun.

Katanya, projek Baiti Jannati menyasarkan umat Islam terdiri golongan asnaf sementara Rumahku Syurgaku pula bagi penerima bukan Islam.

Menurutnya, pada tahun ini sahaja TNB memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi melaksanakan Program Baiti Jannati (PBJ) dengan membiayai atau membina sebanyak empat buah rumah penerima yang layak di negeri ini.

“Projek yang dilaksanakan sejak tahun 2008 ini secara keseluruhnya telah menelan belanja sebanyak RMRM655,000 yang memberi manfaat kepada kira-kira 17 penerima bantuan di negeri ini.

“TNB sentiasa memainkan peranan sewajarnya untuk bersama-sama dengan kerajaan menyediakan kehidupan selesa kepada penerima yang layak menerusi perlaksanaan Projek Baiti Jannati ini.

“Secara dasarnya, penerima bantuan projek membaik pulih atau membina rumah kediaman ini diiktiraf sebagai golongan yang layak menerima zakat oleh Majlsi Agama islam (MAIM),” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu ditemui dalam program Majlis Kesyukuran Projek Baiti Jannati Peringkat Negeri Melaka di Balai Panjang di sini, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan isteri Ketua Menteri, yang juga Pengerusi Badan Amal Isteri Wakil-wakil rakyat (HARWANIS) Melaka, Dalilah Awaluddin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Seah Soo Chin dan Pegawai Daerah Melaka Tengah, Datuk Anis Ali Hassan.

Turut hadir, Pengerusi Pelitawanis TNB Melaka, Dr. Maslina Yazid dan penerima bantuan Dalila Sahli.

Ketika ditanya mengenai penerima sumbangan di bawah PBJ, beliau berkata, bantuan telah diberikan sejak bermula dengan tinjauan dan lawatan ke rumahnya dan pembinaan rumah baharu dimulakan pada pertengahan Ogos lalu yang mengambil masa sebulan setengah untuk disiapkan.

Jelasnya, rumah yang lebih selesa itu dilengkapi dua bilik tidur, ruang tamu, dapur tandas lebih sempurna serta pemasangan ‘smart meter’ TNB bagi membolehkan Dalila, ibu tunggal empat anak mendapat perlindungan sewajarnya.

“Kehadiran dan hasrat murni TNB untuk membantu disambut baik oleh Dalila dan harapan kami semoga keluarga ini dapat meneruskan kehidupan dengan penuh kesyukuran dan sentiasa bersabar menjalani kehidupan seharian.

“Secara peribadi juga saya menasihatkan supaya Dalila dapat menjaga kesihatan dengan baik serta mengutamakan keselamatan diri.

“Semoga dengan kediaman baharu yang lebih selesa, sempurna dan selamat ini, kehidupan sehariannya akan bertambah baik,” katanya lagi.

CATEGORIES