89 Briged RELASIS pelajari teknik menembak

SUNGAI UDANG 15 Mac – Seramai 89 anggota Briged RELASIS Politeknik Merlimau Melaka (PMM) menyertai Kursus Kemahiran dan Teknik Menembak Briged RELASIS Peringkat Negeri, baru-baru ini.
Ia diadakan bagi memahirkan tatacara penggunaan senjata api dan teknik yang betul semasa menembak.
Pegawai Adjutan Briged RELASIS PMM, Ruslan Abdul Jalil berkata, kursus itu bagi memenuhi keperluan silibus RELASIS Malaysia semester 3 mengikut format latihan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
“Mereka juga dapat membina semangat berpasukan dan keyakinan diri dalam aktiviti mencabar tersebut.
“Sebelum acara menembak, pegawai latihan Akademi Latihan RELA Malaysia dan Pegawai Tapak Tembak memberi penerangan mengenai cara pegangan dan penggunaan ‘Shoot Gun’ dengan betul,” katanya.
Kursus anjuran Briged RELASIS PMM & RELA itu diadakan di Lapang Sasar Akademi Latihan RELA Malaysia, Sungai Udang.
TPgR (Bersekutu) Mohamad Shahril Ibrahim dinobatkan sebagai Penembak Terbaik Kategori Pegawai Bersekutu RELASIS dengan pungutan mata 277 mengatasi Juara Bertahan yang memungut 199 mata.