9 kakitangan PPSPM terima APC 2019
Tahniah dan syabas, kekalkan prestasi,...

AZHAR YUSOF
BANDARAYA MELAKA 6 Feb. – Sembilan pegawai dan kakitangan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) antara 485 penjawat awam menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Melaka 2019 baru-baru ini.
APC berkenaan disampaikan Ketua Menteri, Adly Zahari di sebuah hotel di Banda Hilir, baru-baru ini.
Sembilan pegawai dan kakitangan PPSPM itu terdiri daripada Pengurus Bahagian Pentadbiran dan Sumber Manusia, Khairunnisa Ibno Masooda; Pereka Grafik, Al Hussaini Mustafa Hadi Syed Mohd Latipie; Pembantu Tadbir, Mohd Fitri Syah Banan dan Juruteknik Bahagian Teknikal, Mat Daud Md Desa.
Penerima lain adalah, Penyelia Kaunter Melaka River Cruise (MRC), Muhamaad Shah Kamarudin; Pembantu Awam, Bahagian Kewangan, Mohd Firdaus Md Arif; Pembantu Operasi Bahagian Pentadbiran, Mohd Shariffudin; Muhammad Izhar Razali serta Mohd Khairuddinj Ismail, kedua-duanya Jurumudi MRC.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Azlan Abidin.
Azlan ketika ditemui memuji kesemua sembilan pegawai dan kakitangan ini yang semenangnya berkelayakan menerima APC.
“Setiap tahun PPSPM akan memilih sembilan pegawai dan kakitangan untuk dianugerahkan sebagai penerima APC dan penganugerahan ini akan dinilai berdasarkan kepada Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) serta mencapai prestasi Indeks Penilaian Prestasi (KPI) yang melebihi 86 peratus ke atas menerusi markah yang diperoleh mereka.
“Selain itu, komitmen yang ditunjukkan mereka dalam memajukan PPSPM mahupun MRC sememangnya tidak perlu dipertikaikan, mereka sentiasa positif serta sentiasa membantu selain mengajak rakan-rakan untuk bersama-sama membantu merealisasikan misi dan visi PPSPM itu sendiri.
“Berdasarkan merit dan kemampuan mereka, saya beranggapan bahawa semangat perjuangan mereka harus menjadi contoh dalam kalangan rakan-rakan sekerja lain agar pada 2020 ini, rakan-rakan mereka dapat bersaing dalam meningkatkan mutu kerja antara satu dengan lain.
“Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada seluruh warga PPSPM terutama kepada sembilan pegawai dan kakitangan PPSPM yang dianugerahkan APC 2019 dan berharap mereka akan terus komited dalam memajukan diri selain meningkatkan prestasi cemerlang untuk tahun ini,” jelasnya.
Azlan memberitahu, hasil kerjasama berpasukan dalam kalangan kakitangan PPSPM, agensi itu berjaya mencapai sasaran RM20 juta kutipan hasil MRC sepanjang 2019 lalu.
“Untuk 2020 ini PPSPM akan mengekalkan kuota sembilan calon yang akan diberikan anugerah APC namun saya telah melihat peningkatan prestasi kakitangan PPSPM sejak GCF-19 yang berlangsung pada November lalu yang mana mereka menunjukkan suatu kerja berpasukan yang padu sehinggakan GCF tersebut boleh dinobatkan sebagai yang paling berjaya dalam sejarah PPSPM mahupun Kerajaan Melaka,” ujarnya.