AADK laksana kaedah ‘metode al-Quran’ atasi ketagihan

AADK laksana kaedah ‘metode al-Quran’ atasi ketagihan

SALAH seorang peserta memperdengarkan bacaan al-Quran pada Pertandingan Tilawah, Hafazan, Qasidah, Berzanji & Marhaban dan Nasyid Peringkat Zon Tengah & Selatan 2018 di Auditorum Kompleks KDN, Khamis lalu.

AYER KEROH 21 Sept. – Usaha Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menggunakan pendekatan terbaik bagi memastikan pengekalan kepulihan dari dadah berasaskan metode Islam berjaya mengurangkan bilangan penagih dadah dalam kalangan masyarakat beragama Islam.

Pemulihan secara Islam dengan menggunakan keadah solat dan zikir itu dipersetujui oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Omar Jaafar sebaik melihat sendiri kaedah diguna pakai yang dapat menyucikan jiwa para pelangan AADK, sekali gus memberi ketenangan hati kepada mereka dalam menempuh proses pemulihan itu.

Menurut Omar, beliau melihat sendiri tekad dan usaha warga AADK untuk turut mendalami ilmu agama dan memperteguhkan spiritual mereka memandangakn merekalah yang menjadi ‘role model’ utama kepada para pelanggan.

“Saya yakin dan pecaya dengan kesungguhan seluruh warga AADK ini dan kita akan lihat hasilnya dalam masa akan datang memandangakan majoriti pelanggan AADK adalah kalangan beragama Islam.

“Sekali gus dapat memberi inspirasi dan galakan untuk kita lebih berusaha mendekatkan diri dengan agama.

“Sesungguhnya mendekati diri kepada al-Quran adalah langkah paling tepat termasuk juga mereka yang sedang menjalani pemulihan dari kesan dadah.

“Al-Quran dapat memberi panduan, dorongan dan semangat untuk menjalani kehidupan diperkenankan oleh Allah SWT selain dapat menghindarkan diri dari terus mengikut nafsu dunia,” katanya.

Omar berkata demikian semasa berucap merasmikan penutup Pertandingan Tilawah, Hafazan, Qasidah, Berzanji & Marhaban & Nasyid Peringkat Zon Tengah & Selatan 2018 anjuran AADK di Auditorum Kompleks KDN di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Low Che Leong dan Pengarah AADK negeri, Mohamad Yusof Kameh.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Penguatkuasaan AADK negeri, A. Reuben dan Timbalan Penagrah Pencegahan AADK Melaka, Mohamed Izuan Abdul Rahman.

Dalam perkembanngan sama, Omar berkata, kerajaan negeri berhasrat menjadikan program musabaqah sebagai platform mengeratkan pemuafakatan di antara masyarakat.

Ianya dengan mengorak langkah lebih jauh menjadikan pembelajaran al-Quran sebagai salah satu subjek yang diajar bermula di peringkat sekolah rendah lagi.

Beliau berkata, usaha tersebut diharap dapat dilaksana pada masa akan datang dan akan terus membawa manfaat kepada umat Islam di negeri ini khususnya berdasarkan pengalaman dan sumbangan dalam usaha memartabatkan al-Quran.

“Sememangnya matlamat kerajaan adalah untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa, guru, masyarakat dan juga institusi berwajib tentang kepentingan pendidikan al-Quran.

“Sekali gus membolehkan umat Islam di Malaysia bangga dengan pelbagai bidang dan pencapaian negara.

“Kemerduan dan keenakan alunan bacaan al-Quran adalah manifestasi keindahan dan ketertiban bahasa terdapat dalam kitab suci tersebut dengan pelbagai kaedah dan gaya bahasa yang boleh digunakan untuk menyerlahkan keindahan bahasa al-Quran itu sendiri,” katanya.

CATEGORIES
TAGS