Adly bersama 500 jemaah tunai solat hajat, Dhuha di Masjid Al-Alami
#samasamadoa

AYER KEROH 4 Feb. – Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari bersama 500 jemaah menunaikan solat hajat dan solat Dhuha di Masjid Al-Alami, di sini hari ini.
Solat sunat yang diimamkan Mufti negeri, Datuk Abdul Halim Tawil itu diadakan bertujuan memohon diturunkan hujan selebat-lebatnya ke bumi Melaka bagi mengatasi masalah kekurangan air di empangan-empangan utama negeri ini.
Selain itu, solat yang bermula pada jam 8.45 pagi itu turut diadakan bagi memohon dihindarkan segala bentuk musibah kepada rakyat negeri ini terutamanya wabak penyakit baharu, Novel Coronavirus (2019-nCov) yang sedang melanda dunia kini.
Antara yang hadir bersama-sama menunaikan solat hajat dan solat Dhuha itu ialah Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samad dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Azman Aziz.
Selain di Masjid Al Alami, kerajaan negeri turut menganjurkan solat sama di tiga lokasi berlainan bermula 31 Januari hingga 17 Februari.
Tiga lokasi berkenaan ialah di Empangan Durian Tunggal pada 31 Januari lalu, Empangan Jus pada 7 Februari dan di Masjid Machap Lama pada 17 Februari ini.
Terdahulu, Melaka melaksanakan bekalan air berjadual secara harian bermula 29 Januari lalu melibatkan 550,673 pengguna domestik iaitu 62.8 peratus penduduk di negeri ini ekoran paras air di empangan utama berada di tahap yang rendah.