Adly bertugas seperti biasa hari ini

AYER KEROH 25 Feb. – Di sebalik pelbagai andaian tentang status Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Melaka, Ketua Menteri Adly Zahari masih bertugas seperti biasa.
Antara yang dilakukan beliau pada pagi tadi ialah mengadakan pertemuan dengan barisan exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH.
Exco Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ginie Lim Siew Lin (PKR) dan Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU) antara yang menghadiri perjumpaan berkenaan.
Adly yang juga ADUN Bukit Katil turut kelihatan tersenyum ketika menandatangani satu dokumen di pejabatnya.
Sementara itu MelakaKini difahamkan terdapat ADUN pembangkang yang mungkin akan memberi sokongan kepada Adly untuk beliau kekal sebagai ketua menteri.
Spekulasi sedang bertiup kencang bahawa ADUN pembangkang berkenaan ingin menjadi ADUN Bebas dalam menzahirkan sokongan berkenaan.
Sementara itu Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab turut bertugas seperti biasa pada hari ini.
Dalam hantaran di laman Facebook beliau, ADUN Durian Tunggal itu memaklumkan telah mengadakan perbincangan bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Badan Kawal Selia Air (BKSA) Negeri Melaka dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) serta Jabatan Kerja Raya untuk penyediaan jawapan bagi soalan-soalan yang dikemukakan untuk Persidangan Pertama, Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-14 pada bulan hadapan.
“Saya akan terus berkhidmat melaksanakan AMANAH rakyat dengan sebaik mungkin demi kebaikan dan kesejahteraan warga Melaka,” jelasnya.