Adly enggan terima gelaran Datuk Seri, ada cara tersendiri

Adly enggan terima gelaran Datuk Seri, ada cara tersendiri

AYER KEROH 13 Okt. – Ketua Menteri, Adly Zahari tidak menafikan beliau menolak tawaran anugerah Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M.) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena Hari Jadi Yang diPertua Negeri, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob Ke-80.

Katanya, setiap kerajaan mempunyai cara tersendiri dan penolakannya terhadap gelaran berkenaan merupakan cara tadbir kerajaan negeri yang baru dibawah pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Saya rasa tidak timbul, bukan semua soalan kena jawab, ada soalan yang saya rasa tidak perlu jawab, ini adalah cara kerajaan negeri yang baru, setiap kerajaan punyai cara tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penganugerahan itu di Seri Negeri, sebentar tadi.
Difahamkan, Adly menolak penerimaan darjah itu yang membawa gelaran Datuk Seri kerana merasakan masih terlalu awal untuk menerimanya, apatah lagi PH baru lima bulan memerintah.

Sementara itu, empat Exco Kerajaan Negeri menerima Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M) yang membawa gelaran Datuk oleh Mohd Khalil.

Antaranya ialah, Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (PH-BERSATU); Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Tey Kok Kiew (PH-DAP); Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis (PH-PKR) serta Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab (PH-AMANAH).

Adly berkata, menerusi penganugerahan gelaran Datuk kepada keempat Exco oleh Mohd Khalil itu mampu menjadi rangsangan kepada kerajaan negeri untuk menggandakan perkhidmatan kepada rakyat.

“Harap semua ini beri rangsangan baru kepada keseluruhan penerima supaya dapat mengekalkan dan meningkatkan usaha masing-masing,” katanya.

CATEGORIES
TAGS