Adly mohon TYT bubarkan dewan

AYER KEROH 2 Mac – Ketua Menteri, Adly Zahari mencadangkan agar Yang diPertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menerusi kenyataan media yang dimuatnaiknya sebentar tadi, Adly mencadangkan perkara itu semasa bertemu Mohd Khalil hari ini pada jam 4.30 petang.
Katanya, ia susulan ketidakstabilan politik Negeri Melaka yang boleh menjejaskan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Jelasnya, ia serta mengembalikan semula mandat kepada rakyat, dalam masa sama merujuk kepada peruntukan di bawah perkara 7(4) Perlembagaan Negeri Melaka.
“Jika Ketua Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Undangan Negeri, maka Ketua Menteri hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan.
“Melainkan, jika atas permintaannya Yang di-Pertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri.
“Maka, saya telah mencadangkan kepada Tuan Yang Terutama Tun untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka bagi membolehkan PRN diadakan.
“Untuk itu, saya mengharapkan semua rakyat kekal bertenang dan memathu peraturan bagi memastikan negeri ini terus aman dan selamat,” katanya menerusi kenyataan itu.