Adly nafi bakal laksanakan bekalan air berjadual setiap dua hari

Maklumat tepat mengenai bekalan air hanya melalui SAMB dan BKSA

Adly nafi bakal laksanakan bekalan air berjadual setiap dua hari

BATU BERENDAM 7 Feb. – Kerajaan negeri menafikan dakwaan yang tular di laman sosial kononnya program bekalan air berjadual bakal dilaksanakan selama dua hari berbanding kaedah setiap satu hari yang dilaksanakan sekarang.

Tegas Ketua Menteri, Adly Zahari, pihaknya bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) tidak pernah membincangkan mengenai perkara itu dan menyifatkannya sebagai satu dakwaan yang tidak benar.

“Kita akan kekal dengan bekalan air berjadual setiap satu hari, bukan sahaja kepada pengguna domestik, tetapi juga untuk pihak industri dan perhotelan. Setakat ini memang kita tak ada cadangan untuk itu (bekalan air berjadual selama dua hari).

“Keputusan kita memang sehari-sehari sahaja. Jadi, apa yang ditularkan memang tidak betul. Untuk segala maklumat lanjut mengenai penjadualan air, bolehlah merujuk dengan SAMB,” katanya yang ditemui ketika sesi ziarah kasih di Taman Melaka Baru, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai fasa air berjadual fasa kedua Isnin depan yang akan melibatkan 60 peratus sektor industri dan perhotelan di Melaka, Adly berkata, pihaknya berharap SAMB bersama pihak yang terlibat dapat mengadakan perbincangan jika berdepan sebarang masalah atau mahu mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun, beliau percaya penjadualan air fasa kedua itu tidak akan memberi kesan yang besar kepada sektor industri dan perhotelan di negeri ini jika kesemuanya bersedia lebih awal.

“Kita percaya semua hotel, industri dan seumpamanya sepatutnya sudah mempunyai tangki-tangki yang secukupnya. Difahamkan ada di antara industri yang mempunyai tangki air yang boleh digunakan sehingga dua, tiga hari sedangkan penjadualan kita hanya melibatkan satu hari sahaja.

“Sepatutnya ia tidak menimbulkan masalah kecuali mereka tidak mematuhi arahan yang telah ditetapkan. Apa pun, setiap daripada sektor industri ini perlu berbincang dengan SAMB bagaimana untuk membantu dalam memastikan bekalan air mereka mencukupi,” ujarnya.

Jelas Adly, sehingga 7 Februari, paras air di empangan-empangan utama Melaka masih belum mengalami peningkatan ekoran ketiadaan hujan.

Empangan Durian Tunggal kini pada paras 27.8 peratus (8,570 juta liter air), Empangan Jus 31.8 peratus (13,750 juta liter air) dan Empangan Asahan 58.9 peratus (410 juta liter air).

CATEGORIES
TAGS