Adly pertimbang Bandar Melaka bebas kenderaan

Perbincangan itu akan diketuai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew.

Adly pertimbang Bandar Melaka bebas kenderaan

AYER KEROH 11 April – Kerajaan negeri bercadang mewujudkan kawasan bebas kenderaan di Jalan Jonker dan kawasan sekitar bangunan Stadthuys bagi meningkatkan pendapatan penduduk.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan diketuai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew dan dijangka dilaksanakan selewatnya tahun ini.

Katanya, jika projek perintis yang dilaksanakan itu mendapat keputusan positif, dua kawasan terbabit berkemungkinan dijadikan lokasi bebas kenderaan sepenuhnya atau dilakukan mengikut tempoh tertentu yang dirasakan sesuai.

“Mungkin ada kenderaan tertentu sahaja yang dibenarkan seperti kenderaan penduduk sekitar, awam dan peniaga.

“Manakala bagi pengunjung boleh menggunakan teksi air atau beca untuk keluar masuk ke kawasan itu, namun perkara ini masih belum ditentukan dan keputusan terhadapnya akan dibuat selepas mengambil kira faktor penduduk dan beberapa perkara lain.

“Yang penting, tujuan perkara ini adalah untuk meningkatkan pendapatan penduduk, jika tidak ditepati atau gagal dilaksanakan, mungkin kita tidak akan melakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri, sebentar tadi.

Dalam perkembangan lain, Adly turut merancang mempelbagaikan lagi aktiviti kesenian seperti silat termasuk mewarnai dan menukar mural di beberapa kawasan di negeri ini bagi menarik lebih ramai pelancong hadir ke Melaka.

“Kerajaan negeri turut bercadang untuk memanfaatkan seni Melaka dalam pelbagai tema yang diubah setiap dwi tahun atau tahunan.

“Dalam masa sama, melihat kemampuan kewangan kerana mural sama telah digunakan hingga empat ke lima tahun, perlu ada kaedah baru kerana sebahagian pelancong menganggap mural sebagai daya tarikan.

“Perkara itu akan dimuktamadkan berhubung kos pelaksanaannya diikuti model dan imej berbeza di kawasan yang telah dilaksanakan terutamanya membabitkan lokasi sekitar Sungai Melaka dan Jalan Jonker,” katanya.

CATEGORIES
TAGS