Adly saran bela ikan puyu perangi Aedes

LIMBONGAN 9 Mac – “Orang ramai boleh mempraktikkan semula budaya masyarakat Melayu lama dalam membasmi pembiakan nyamuk Aedes,” kata Ketua Menteri, Adly Zahari.
Menurutnya, antara inisiatif yang boleh dilakukan ialah membela ikan betuk atau puyu dalam kolam takungan air, supaya pembiakan jentik-jentik dapat dihapuskan.
“Peningkatan kes denggi negeri ini melibatkan beberapa faktor antaranya cuaca dan tiada penyelenggaraan terhadap kawasan takungan air hujan.
“Jadi apa salahnya ikut budaya orang dulu, letakkan (bela) ikan betuk dalam takungan, ia budaya yang baik dan mampu menyelamatkan nyawa.
“Namun, kita harap kawasan ternakan denggi melibatkan kawasan takungan air dapat dijaga rapi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Gotong Royong Mega di Taman Limbongan Permai, di sini, hari ini.
Langkah membela ikan puyu bagi memerangi wabak denggi pernah dilaksanakan pada 2008 di Duyong.
Hadir sama, Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin.
Adly turut memberitahu, kerajaan negeri akan memperkasakan pemantauan wabak denggi di negeri ini menerusi ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan ahli majlis yang dilantik.