Adly yang aku kenal
Melaka perlu pemimpin berjiwa besar dan berintegriti

ANAK JATI MELAKA
AKU tiada gambar berdua dangan Adly Zahari.
Walaupun banyak peluang untuk bergambar berdua bersamanya di dalam majlis-majlis rasmi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Aku sangat senang bekerja dengannya. Beliau seorang yang sangat `humble.’
Apa yang dihidangkan itu yang dia akan makan. Memang sangat tidak cerewet mengenai soal makan.
Kalau berkaitan majlis rasmi, apa yang kita anjurkan, itu yang beliau akan ikuti. Tidak pernah sekalipun beliau kata tak puas hati.
Dalam setiap perbualan bersamanya, hal yang selalu dititikberatkan ialah pendidikan.
Beliau selalu berkata, hanya dengan pendidikan yang baik dan kerajinan usaha sahaja, anak-anak orang miskin dapat membantu keluarga mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.
Justeru, Adly memperkenalkan Program Rumah Peduli dan mengembalikan kembali bantuan pendidikan untuk pelajar ke Mesir dan memudahkan urusan pinjaman Tabung Pendidikan Negeri.
Rumah Peduli dibina kepada golongan miskin yang mempunyai anak-anak yang sedang bersekolah agar anak-anak mereka dapat belajar dalam keadaan yang selesa.
Segala urusan birokrasi yang melibatkan kebajikan rakyat miskin dipermudahkan.
Buat ketika ini, aku tak nampak ada calon lain yang layak menggantikan Adly sebagai Ketua Menteri Melaka.
Aku bukan ingin memuja Adly tetapi aspirasinya jelas dan terbukti menjurus kepada kebaikan rakyat di dalam negeri ini.
Tiada satu pun agenda mengumpulkan harta untuk diri sendiri. Cukuplah dengan panggilan Tuan Adly Zahari untuk orang ingat. Diperuntukkan sebuah rumah agam sebesar istana untuknya tetapi beliau memilih untuk tinggal di rumah tetamu lama kerajaan negeri.
Katanya beliau tidak mahu membazirkan duit rakyat walaupun sepitis.
Melaka ini negeri yang penuh sejarah. Di sini segalanya bermula. Melaka boleh bangkit kembali menjadi sebuah negeri yang kaya, hebat dan sejahtera.
Orang Melaka harus melihat Melaka sebagai sebuah negeri yang pernah menjadi kerajaan yang paling gemilang namanya di Nusantara.
Untuk kembali gemilang, negeri ini harus diuruskan oleh jiwa-jiwa yang mulia. Mereka yang taat dan patuh pada perintah Tuhannya.
Mereka yang cintakan agama, adat dan budayanya. Aku yakin Adly Zahari memahaminya.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————————–
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian MelakaKini