Agensi kerajaan perlu tegas : Ambil tindakan kepada pengusaha bengkel abai kebersihan

Agensi kerajaan perlu tegas : Ambil  tindakan kepada pengusaha bengkel abai kebersihan

LONGGOKAN sampah di hadapan pintu masuk janakuasa TNB mengecewakan.

BATU BERENDAM 19 Okt. – Agensi kerajaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu tegas melaksanakan tanggungjawab termasuk memberikan notis penamatan lesen sekiranya pengusaha di kawasan perindustrian melanggar peraturan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Seah Shoo Chin berkata, langkah itu bagi memberikan kesedaran kepada pengusaha terbabit agar mematuhi peraturan yang ditetapkan agensi kerajaan.

Menurutnya, pihaknya mendapat aduan, ada pengusaha bengkel kenderaan di Kawasan Perindustrian Merdeka, Taman Merdeka yang menyalah guna tempat awam dengan menjadikan kawasan parkir sebagai stor mereka.

Katanya, ini sekali gus menyusahkan pengguna meletakkan kenderaan mereka dan kawasan terbabit turut menjadi tempat pembiakan pelbagai serangga termasuk nyamuk yang boleh menjejeskan kesihatan penduduk sekitar.

Malah katanya, menerusi tinjauan yang dilakukan, terdapat juga petak parkir yang dijadikan tempat meletakkan kenderaan rosak sehingga menghalang laluan utama pengguna jalan raya.

“Lebih memburukkan keadaan, pengusaha kilang memproses barangan kitar semula turut meletakkan bahan buangan di tempat yang sama.

“Malah, pintu masuk pusat janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan ini turut menjadi tempat mereka menyimpan barangan lusuh,” katanya.

Shoo Chin berkata demikian kepada MelakaKini selepas lawatan kerja di sekitar Kawasan Perindustrian Merdeka, Taman Merdeka dan Kawasan Perindustrian Malim Jaya di sini, baru-baru ini.

Lawatan itu dilakukan berikutan aduan pengguna yang bimbang dengan situasi itu yang telah berlarutan sekian lama.

Shoo Chin bagaimapun, kecewa dengan sikap pengusaha bengkel kenderaan termasuk sebahagian pengusaha di kawasan terbabit yang langsung tidak menjaga sensitiviti penduduk sekitar dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

“Saya dimaklumkan, pengusaha terbabit telah beberapa kali diberikan notis oleh PBT agar mereka menjaga kebersihan di kawasan mereka, malah ia ibarat ‘mencurah air di daun keladi’.

“Sehubungan itu, pihak berwajib diharap dapat bertindak lebih tegas dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

“Ianya agar pengusaha bengkel kenderaan dan sebagainya rasa terkesan selain menjadi pengajaran kepada mereka mengabaikan kebersihan,” tegasnya.

CATEGORIES