Ahli PKR Melaka beri komitmen akur keputusan Kerajaan Pusat

Ahli PKR Melaka beri komitmen akur keputusan Kerajaan Pusat

GINIE

AYER KEROH 26 Okt. – Masalah kelewatan pengumuman keputusan pemilihan PKR negeri Sabtu lalu, memberi kesan tidak baik terhadap ketelusan dan kecekapan parti itu.

Ia diakui oleh calon Ketua Cabang PKR Alor Gajah, Ginie Lim Siew Lin yang berharap supaya masalah teknikal
dihadapi itu tidak mematahkan semangat semua ahli PKR khususnya di negeri ini.

Beliau berkata, kesemua ahli PKR di negeri ini menunjukkan komitmen tinggi dengan keluar mengundi pada hari tersebut.

Katanya, pihaknya masih menunggu keputusan pemilihan yang akan diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

“Kelewatan ini sepatutnya tidak berlaku kerana ahli kita menunjukkan komitmen tinggi dengan keluar mengundi, ini memberi persepsi tidak baik tentang kecekapan dan ketelusan kita,” katanya.

Ginie berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita di Pasar Raya Mydin MITC di sini, semalam.

Ujarnya, beliau turut akur dengan keputusan yang akan diumumkan nanti dan berharap masalah tersebut selesai supaya tiada pemilihan semula.

“Kita harap ia dapat diselesaikan kerana ia melibatkan kos, tenaga dan masa yang banyak,” katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Datuk Rashid Din memberitahu, pemilihan PKR tidak perlu dilakukan semula di Negeri Sembilan dan Melaka susulan isu kehilangan undi.

Jawatankuasa tersebut sedang mempertimbangkan beberapa alternatif yang boleh diguna pakai bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Pemilihan lima cawangan PKR Melaka dan satu cawangan Negeri Sembilan gagal dikesan hingga menyebabkan keputusan akhir tidak dapat diumumkan.

Masalah itu berlaku kerana wujud gangguan atau kerosakan rawak di dua negeri terbabit dan pasukan teknikal diberikan masa 24 jam untuk menyiasat.

CATEGORIES