Aktiviti acara rasmi berciri barat harus diubah dalam Malaysia Baharu – Nazri

AYER KEROH 22 Jan. – Acara rasmi yang kebanyakannya menjurus ke arah budaya barat harus diubah dengan cara lebih baik agar tidak mengundang persepsi masyarakat terhadap Malaysia Baharu.
Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Negeri Melaka, Nazri Zamani berkata, kerajaan disaran menggariskan panduan bagi sektor awam dalam penganjuran sesebuah program yang dilaksanakan.
Katanya, ia seharusnya dilaksanakan Pakatan Harapan (PH) dan diambil contoh seperti garis panduan solat di pejabat yang telah dilaksanakan dilihat menjadi satu contoh yang baik.
“Ia sangat cemerlang jika garis panduan program dan acara yang menekankan aspek ini tidak menyalahi adat, budaya atau agama di Malaysia dilaksanakan.
“Malah, jika sudah berjaya dilaksanakan di sektor kerajaan, ia boleh diperluaskan pada peringkat swasta dengan penerangan dan susunan yang teratur.
“Biasakan yang betul, betulkan yang biasa. Semoga agenda reformasi institusi bermula dengan penghormatan tertinggi
kepada para penjawat tertinggi negara,” katanya.
Nazri berkata, pihaknya terkesan dengan sebuah video yang tular baru-baru ini, membabitkan tarian melibatkan Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum; Peguam Negara, Tommy Thomas dan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Kiung.
Katanya, program Legal Year 2019 yang dilaksanakan itu merupakan majlis makan malam tahunan diadakan setiap tahun.
Ujarnya, aktiviti itu bertentangan dengan gaya hidup penduduk Malaysia yang mengamalkan adab ketimuran, lebih-lebih lagi negara ini didiami oleh pelbagai lapisan bangsa.
Menurut Nazri, acara seperti ini telah wujud sebelum kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kepimpinan Malaysia,
dan perkara itu kekal seperti ‘tradisi’ pengamal undang-undang.
“Titis demi titis akhirnya air boleh jadi tasik, itulah umpamanya acara di majlis Legal Year 2019 itu yang telah menjadi adat dalam sesuatu majlis, terasa tidak gemilang jika tanpanya.
“Ia baik jika kita berjaya menampilkan kepimpinan yang bukan saja hebat dari sudut pengurusan mahupun pentadbiran, tapi juga lebih menyerlahkan sudut budaya ketimuran, ketinggian
penghayatan agama & integriti,” katanya.