Alhamdulillah…ringan sedikit beban

Alhamdulillah…ringan sedikit beban

PADANG TEMU 25 Feb. – “Alhamdulillah beban saya kini ringan sedikit apabila tidak lagi perlu membayar sewa rumah dan sumber itu boleh digunakan untuk keperluan perubatan suami dan pendidikan anak-anak,” kata Murniza Maharam, 46.

Kini, Murniza yang tinggal menyewa di rumah pangsa kampung Padang di sini, boleh menarik nafas lega apabila terpilih untuk menerima sebuah rumah menerusi projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka.

Menurutnya, dengan keadaannya yang tidak bekerja adalah sukar untuknya menguruskan persekolahan anak- anak dengan sempurna ditambah pula dia perlu menjaga suami lumpuh yang sememangnya memerlukan penjagaan rapi.

“Suami, Harun Abd. Hamid, 56, lumpuh sejak 5 tahun lalu memerlukan penjagaan rapi.

“Manakala anak sulung Nur Ashyikin, 24, yang baru sahaja mendirikan rumahtangga, anak kedua Saiful Hidayat, 18 tahun sedang menunggu keputusan peperiksan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dua anak lagi masih lagi bersekolah iaitu Hilman Hakimi, 16, dan Nur Elisya Dayana, 15,” katanya.

Murniza berkata demikian kepada media ketika ditemui sempena majlis tahlil dan doa selamat yang diadakan di rumahnya, di sini, Sabtu lalu.

Turut hadir, Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Noor Effandi Ahmad dan Pengurus Besar yang juga Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) TNB Melaka, Ir. Ahmad Rezahan Mohammad.

Pada majlis tersebut, TNB Melaka turut menyampaikan sumbangan berupa barangan dapur selain wang tunai yang dikumpulkan hasil sumbangan pegawai dan kakitangan TNB Melaka.

Dalam pada itu, Murniza berkata, bagaimanapun dia tetap bersyukur apabila turut menerima bantuan kewangan bulanan sekitar RM750 dan juga barangan dapur bernilai RM200 dari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Saya terharu di atas sumbangan yang diberikan dan terima kasih kepada TNB yang membantu membina sebuah rumah selesa buat saya dan keluarga.

“Sekurang- kurangnya, saya tidak perlu lagi membayar sewa rumah secara bulanan dan bantuan kewangan yang diterima boleh digunakan untuk keperluan perubatan suami dan pendidikan anak-anak,” jelasnya.

CATEGORIES