Ambil iktibar kes pemandu lori maut terbakar – KP Bomba

Ambil iktibar kes pemandu lori maut terbakar – KP Bomba

AYER KEROH 26 Feb. – Kejadian kemalangan membabitkan pemandu lori tangki minyak yang maut terbakar baru- baru ini perlu diambil iktibar agar ia tidak berulang kembali.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, rakyat negara ini seharusnya memiliki sikap bertangungjawab ke atas orang lain selain diri sendiri dengan berusaha menyelamatkan mangsa kebakaran dari merakamkan video mengenai insiden yang menimpa mangsa.

Katanya, beberapa kaedah boleh digunakan bagi membantu memadamkan kebakaran pada ketika itu terutama pada baju mangsa yang terbakar.

Jelasnya, penggunaan teknik ‘Stop, Drop and Roll’ (berhenti, jatuhkan tubuh dan berguling) terutama berguling atas rumput yang mana perkongsian ilmu itu sering disampaikan kepada kanak-kanak tadika.

“Usaha menyelamat mangsa boleh diteruskan dengan menggunakan selimut ataupun kain basah dari membiarkan mangsa terus berlari kerana keadaan itu akan menyebabkan api lebih marak.

“Tapi saya amat sedih orang sanggup membuat rakaman dan tidak membantu mangsa.

“Sebagai rakyat, kita harus menjadi orang yang boleh menyelamatkan orang lain dalam keadaan kecemasan tertentu tetapi dalam insiden ini ia tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan program Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) peringkat negeri di Hotel Muzaffar, di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Zin Salleh.

Ujarnya lagi, setiap kenderaan juga digalakkan mempunyai alat pemadam api sebagai langkah keselamatan jika berlaku sebarang bencana diluar jangka di jalan raya.

“Selain alat memadam kebakaran, pemandu lori seperti itu juga kebiasaanya akan mengikuti kursus berkaitan dan merupakan seorang yang terlatih,” katanya.

CATEGORIES