Ambil kira keselamatan nelayan di perairan – Adly

Ambil kira keselamatan nelayan di perairan – Adly

KOTA LAKSAMANA 12 Feb. – Kerajaan negeri akan menstrategikan semula pembangunan di setiap perairan di negeri ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, usaha itu melibatkan pelabuhan dan pembangunan di kawasan tambakan laut.

Beliau berkata, ia termasuklah pembangunan di Pulau Besar Melaka.

“Kita sedang muktamadkan beberapa perbincangan untuk menguruskan pembangunan pada tahun ini.

“Ini termasuk mengambil kira aspek keselamatan nelayan yang melalui perairan kita,” katanya.

Adly berkata demikian pada sidang media sempena Lawatan Kerja Keselamatan Ketua Menteri Melaka di Kawasan Maritim Negeri Melaka di Kompleks ICQS Muara Sungai Melaka, hari ini.

Jelas Adly, strategi itu perlu dilakukan memandangkan terdapat kapal-kapal yang berlabuh di perairan di negeri ini.

“Perairan di Melaka semakin sibuk, justeru aspek keselamatan nelayan perlu diambil perhatian.

“Kita sudah berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk melihat semula ruang pelabuhan yang ada buat nelayan,” katanya.

Pada masa sama, Adly turut melihat aspek baharu dalam bidang perikanan yang mampu membantu nelayan di negeri ini.

“Ini sekali gus membantu sektor pendapatan mereka terutamanya sektor penternakan ikan dalam sangkar,” katanya.

CATEGORIES
TAGS