Anak-anak Rohingya Baitul Ummah semai pendidikan di tanah orang

Anak-anak Rohingya Baitul Ummah semai pendidikan di tanah orang

PERINGGIT 1 Feb. – Walaupun hidup sebagai perlarian, hasrat menyemai ilmu pendidikan buat anak-anak Rohingya yang menumpang kasih di negara orang, tetap diteruskan agar tidak ketinggalan.

Seorang guru, Ehsanul Hoque Abdul Motin, 27, berkata, hidupnya sebagai seorang perlarian berdepan pelbagai masalah, namun dia tetap bersyukur kerana di tempatkan di negara ini.

Katanya, demi menyebarkan pendidikan buat anak bangsanya, dia membangunkan sebuah sekolah anak-anak Rohingya ilham darinya bersama isteri.

Ujarnya, walaupun terdapat banyak kekurangan dari segi fasiliti, buku sekolah serta pelbagai lagi, namun dia tetap meneruskan usaha itu demi mencurah bakti kepada etnik berkenaan.

Ehsanul yang juga graduan lepasan sebuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Arakan pernah melakukan pelbagai kerja di negeri ini seperti mengutip besi buruk, buruh dan tukang mesin rumput sebelum ditawar menjadi guru etnik itu di Ampang, Kuala Lumpur.

Ujarnya, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah menyokong usaha dia dan isteri dan hasil rundingan berikutnya, dia telah dipindahkan untuk mengajar etnik terbabit di Sekolah Baitul Ummah di sini, sejak dua tahun lalu.

“Pertelagahan etnik yang berlaku di negara asal saya membuatkan ramai saudara-mara mati dibunuh dan ada di antaranya yang masih hidup berpindah ke Bangladesh akibat penindasan itu.

“Alhamduillah, bukan mudah dapatkan kad Suruhanjaya TinggI Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bagi Pelarian (UNHCR), walaupun secara hakikatnya memang sengsara tinggal di negara sendiri,” katanya ketika ditemui MelakaKini.

Jelasnya, pelbagai dugaan ditempuhi ketika mengajar di sekolah itu akibat kekangan kewangan dihadapi demi membangunkan anak bangsanya.

Katanya, pelbagai pelajaran dipelajari anak muridnya termasuk agama Islam, Matematik, Sains dan pelbagai lagi.

Ujarnya, dugaan lain yang dihadapinya ialah pelajar terpaksa berkongsi makanan dengan pelajar lain kerana ada antara mereka membawa nasi putih saja, malah ada antaranya tidak membawa wang saku.

“Berkongsi lauk dengan mereka sudah menjadi satu runtin dan saya tiada masalah, hubungan ini tidak hanya seperti guru dan pelajar saja, malah seperti sebuah keluarga yang besar,” katanya.

CATEGORIES