ANGKASA cadang nama koperasi diletak bawah Kementerian Pembangunan Usahawan

ANGKASA cadang nama koperasi diletak bawah Kementerian Pembangunan Usahawan

AYER KEROH 14 Sept. – Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) Datuk Abdul Fattah Abdullah minta kerajaan supaya menambah nama koperasi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan.

Penambahan yang diminta sesuai dengan fungsi selain membolehkan pergerakannya merencana program dengan lebih berkesan untuk faedah para ahli.

Katanya, nama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sudahpun ditukar namanya kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), tetapi kewujudan Kementerian Pembangunan Usahawan pula dilihat lebih memberi impak bagi menggabungkan nama koperasi itu sendiri.

Jelasnya, ANGKASA meminta kerajaan meletakkan nama koperasi di bawah portfolio kementerian berkenan bagi membolehkan badan koperasi itu bergerak serta merancang sesuatu perkara yang boleh membawa impak sosial dan ekonomi kepada hampir tujuh juta anggotanya yang mewakili 20 peratus rakyat di seluruh negara ketika ini.

“Saya ada berbincang dengan Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md. Yusof baru-baru ini, beliau memberitahu hal ehwal koperasi mungkin diletakkan di bawah kementeriannya.

“Bagaimanapun saya difahamkan, perkara itu masih belum diputuskan sepenuhnya kerana ada kemungkinan hal ehwal koperasi kembali diletakkan di bawah KPDNHEP,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media pada program Kursus Khas Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri (JPAN) Zon Selatan di Hotel Kobemas di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Perhubungan ANGKASA Negeri Melaka, Muslim Md. Shah dan Pengerusi Perhubungan ANGKASA Negeri Johor, Sazali Abd. Hamid.

Menurut Abdul Fattah, langkah itu juga bagi memastikan gerakan koperasi punyai kekuatan dan platform sesuai untuk memberi sebarang cadangan berkaitan pembangunan koperasi kepada kerajaan memandangkan ketika ini mereka hanya ada Suruhanjaya Koperasi Malaysia sebagai tempat rujukan.

“Saya harap kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengiktiraf koperasi sebagai antara kategori Perniagaan Kecil dan Sederhana (SME) memandangkan 97 peratus aktiviti perniagaan koperasi di negara ini beroperasi secara sederhana, kecil dan mikro.

Sebelum ini, ANGKASA berdepan dilema sama ada diletakkan fungsinya di bawah KPDNHEP memandangkan koperasi di Malaysia banyak terlibat dengan kepenggunaan atau di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan berikutan koperasi juga banyak melibatkan usahawan.

Bagaimanapun akhirnya, koperasi disarankan berada di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan, ahli-ahli ANGKASA berharap supaya keputusan itu dilaksanakan secepat mungkin kerana mereka perlu bergerak seiring dengan polisi ditetapkan kementerian.

CATEGORIES