APMM tahan tekong bawa tiga PATI

TANJUNG BIDARA 20 Mac – Tiga pendatang tanpa izin (PATI) dan seorang tekong bot ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka & Negeri Sembilan selepas cubaan menyeludup masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan di perairan Tanjung Bidara, lewat malam kelmarin.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri sembilan, Kapten Maritim Amran Daud berkata, pihaknya menahan tiga PATI dan tekong berkenaan ketika berada di kedudukan 2.3 Batu Nautika dari barat laut Pulau Tanjung Bidara, Melaka, pada jam 11 malam.
Menurutnya, tangkapan tersebut hasil operasi khas selepas menerima maklumat dari Sistem Pengawasan Maritim (Laut) SWASLA yang memaklumkan terdapat pergerakan sebuah bot mencurigakan dari perairan Pulau Rupat, Indonesia ke perairan negara.
“Kami mengesan pergerakan sebuah bot pancung gentian kaca tiada nombor pendaftaran menggunakan enjin sangkut 85 kuasa kuda yang mencurigakan dari perairan Pulau Rupat Indonesia ke perairan Tanjung Bidara.
“Pihak kami kemudiannya memintas dan menahan bot tersebut di 2.3 Batu Nautika dari barat laut pulau Tanjung Bidara,” katanya dalam satu kenyataan media.
Memetik kenyataan, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyuludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Dari Januari 2019 hingga kini, sebanyak 11 kes di bawah ATIPSOM telah berjaya ditangkap oleh pihak Maritim Melaka dan Negeri Sembilan.
“Pihak Maritim akan sentiasa meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan dua negeri ini,” katanya.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan jenayah dan kecemasan di laut berkenaan di talian Pusat Operasi Maritim yang beroperasi 24 jam di talian 06-3876730 dan 999.