“Arwah suami sanggup berkorban demi selamatkan penyu”

“Arwah suami sanggup berkorban demi selamatkan penyu”

Oleh: DIN AHMAD

MASJID TANAH 17 Feb. – Bukan mudah untuk menyelamatkan penyu daripada pupus kerana ia menuntut pengorbanan untuk menunggu haiwan itu bertelur dari jam 8 malam hingga 5 pagi bagi mengelakkannya dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Namun, bagi renjer penyu, Allahyarham Omar Eden yang meninggal dunia pada 2 Disember lalu, itulah antara jasa dan budinya dalam membantu pemuliharaan haiwan berkenaan.

Isterinya, Zaharah Atan, 57, berkata arwah suaminya amat menyayangi akan penyu dan sanggup berjaga sembilan jam mulai jam 8 malam semata-mata untuk menyelamatkan haiwan itu daripada pupus.

“Arwah juga sanggup mengutip telur penyu tengah malam walaupun dalam keadaan hujan dan ribut melanda pantai,” katanya ketika ditemui pada majlis Penghargaan Pekerja Konservasi Penyu di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP), Padang Kemunting, dekat sini kelmarin.

Beliau berkata, suaminya yang meninggal dunia pada usia 58 tahun mencurah budi dan bakti selama kira-kira 15 tahun sebagai renjer penyu dilantik World Wildlife Fund-Malaysia (WWF-Malaysia) bagi membantu pemuliharaan penyu yang dilaksanakan di PKPP.

“Setiap kali bertugas membantu mengutip telur dan membawanya ke PKPP, arwah diberikan elaun khas oleh WWF-Malaysia sebagai penghargaan atas budi dan jasanya dalam membantu memulihara haiwan berkenaan daripada pupus,” jelasnya.

Zaharah berkata, arwah suaminya yang bertugas sebagai nelayan tidak pernah mengeluh keletihan setiap kali pulang ke rumah di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara pada dinihari sebelum menunaikan solat subuh dan bersiap-siap untuk turun ke laut mencari rezeki keluarga.

“Arwah pernah menceritakan betapa arwah terpaksa menentang ribut semasa mengutip telur penyu di pantai pada tengah malam daripada membiarkannya dicuri orang,” katanya.

Seramai lapan renjer penyu yang bertanggungjawab mengawasi penyu bertelur dan mengutip telur haiwan berkenaan menerima sijil penghargaan yang disampaikan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Halim Bachik.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Nawar Abdul Karim dan Ketua PKPP, Mastura Daud.

Sementara itu, Mastura berkata, pusat berkenaan menyanjung tinggi jasa dan pengorbanan oleh Omar dalam membantu memulihara penyu dan mengucapkan terima kasih kepada Zaharah dan anaknya, Junaidah, 33, yang sudi menerima anugerah berkenaan bagi pihak arwah.

Katanya, pendaratan penyu karah di Pantai Padang Kemunting menyumbang 25 hingga 30 peratus daripada keseluruhan pendaratan di seluruh Melaka, iaitu purata antara 400 hingga 500 sarang atau pendaratan penyu karah setahun.

Sebanyak 4,595 sarang telur penyu yang dicatatkan di Melaka dari 2009 hingga 2018 berpotensi menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan utama khusus untuk pencinta haiwan berkenaan.

Dalam tempoh itu juga sebanyak 545,117 telur penyu dijumpai di Padang Kemunting, Pasir Gembur, Balik Batu, Kem Terendak, Tanjung Bidara, Teluk Belanga, Kuala Linggi, Meriam Patah, Tanjung Serai, Tanjung Dahan, Pengkalan Balak dan Pulau Upeh.

Sebanyak 320,679 anak penyu dilepaskan ke laut dalam tempoh berkenaan, sekali gus menjadikan pantai di negeri ini sebagai lokas pendaratan penyu karah tertinggi di Semenanjung.

CATEGORIES