Astro & Telkomsel berkolaborasi terbitkan Nawangsih

ASTRO menjalankan kerjasama strategik bersama pengendali selular terbesar di Indonesia, Telkomsel.
Ia menerusi aplikasi portal video dan MAXstream untuk menghasilkan sebuah lagi karya original dan eksklusif bergenre
seram berjudul ‘Nawangsih’.
Inisiatif itu sebagai tanda menyokong usaha Telkomsel meningkatkan pengalaman pengguna dan menawarkan pelbagai perkhidmatan gaya hidup digital bagi menepati gaya hidup hari ini.
Nawangsih merupakan sebuah karya sentuhan penyanyi yang juga penulis lirik tersohor Indonesia, Melly Goeslow.
Karya ini turut mendapat garapan serta digarapkan oleh sutradara Hedy Suryawan selaku pengarah.
Drama bersiri ini juga menampilkan runut muzik yang cukup hebat dari pemuzik berpengalaman, Anto Hoed.
Hedy berkata, drama 10 episod ini merupakan edisi terkini ‘MAXstream Origina’.
“Ia dibintangi Mario Lawalata dan Ririn Ekawati sebagai teraju utama dibantu oleh benaya farah, Gisellma dan Chrissie.
“Saya yakin drama ini mampu membuatkan penonton teruja dengan jalan ceritanya yang penuh misteri dan suspen,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario berkata, pihaknya teruja dengan pelancaran Nawangsih memandangkan ia sebuah siri drama yang pertama diterbitkan bersama Telkomsel.
“Kami komited mengangkat lebih banyak karya seumpama ini bersama rakan industri yang mempunyai matlamat sama.
“Harapan kami, Nawangsih dapat merekodkan kejayaan seperti buah tangan produksi Indonesia terdahulu seperti ‘Gantung’ dan ‘Dosa’,” katanya.
Mengenai drama ini, plotnya mengangkat kisah sebuah keluarga iaitu Arya bersama isterinya, Kiran serta dua anak perempuan
mereka, Srimaya dan Nawangsih berpindah ke sebuah rumah lama milik arwah bapa Arya.
Sehinggalah pada suatu hari, Nawangsih menemui sebuah lampu usang dalam kotak yang merupakan warisan peninggalan arwah bapa Arya dan menjadikan dia punyai hubungan luar biasa dengan roh yang menetap di dalam lampu usang itu.