B-21 MU nekad bangkit raih kemenangan pertama

B-21 MU nekad bangkit raih kemenangan pertama

SKUAD Bawah-21 (B-21) Melaka United optimis mengutip mata penuh pertama di laman sendiri ketika berdepan B-21 Felda United bagi aksi ketiga Piala Presiden di laman sendiri sebentar lagi.

Pengurus Pasukannya, Mohd Ashiq Abd. Samad berkata, selepas dikecewakan dalam dua perlawanan lalu, anak buahnya nekad bangkit di gelanggang sendiri.

Katanya, masalah yang dihadapi dalam perlawanan sebelum ini telah pun dikenalpasti dan mendapati ia punca kepada kekalahan dua perlawanan sebelum ini.

“Tempoh hari ‘post-mortem’ telah saya buat bersama semua pemain dan ia telah diselesaikan, saya nasihatkan pemain supaya kembali bersemangat dan kenang kembali kejayaan mengalahkan pasukan-pasukan yang lebih hebat.

“Lepas kena 2-0 di Perak tempoh hari, semangat mereka sangat menurun, tetapi ia telah diperbaiki dan saya menjangkakan pemain akan lebih bersemangat ketika turun petang ini berdasarkan moral pemain semasa latihan,” katanya.

Walaupun rekod dan barisan pemain B-21 Felda United tampak lebih baik di atas kertas, apa sahaja boleh berlaku sepanjang perlawanan dan berharap pemainnya kekal fokus dan meraih kemenangan pertama.

“Ikut rekod sekarang dan tahun lepas, Felda agak kukuh, tetapi saya masih percaya skuad saya lebih baik kerana kita bermula agak baik sebelum saingan bermula.

“Namun, tak tahu di mana silapnya kita jadi jadi begini, tetapi ia telah selesai.

“Saya nasihatkan kepada mereka, jika bermain untuk kalah, semangat mereka akan terus menurun dan perkara ini telah ditekankan dari hati ke hati,” katanya.

CATEGORIES
TAGS