Badan Kebajikan Meng Seng salur sumbangan sempena TBC 2019

Badan Kebajikan Meng Seng salur sumbangan sempena TBC 2019

BANDARAYA MELAKA 17 Jan. – Lebih 1,000 golongan sasar terdiri pelbagai kaum menerima sumbangan ‘angpau’ sempena Tahun Baharu Cina (TBC) 2019.

Sumbangan dianjur Persatuan Kebajikan Meng Seng Melaka itu telah disampaikan  Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew di Dewan Meng Seng di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Low Chee Leong serta jawatankuasa Persatuan Kebajikan Meng Seng Melaka.

Bercakap kepada media, Kok Kiew berharap amalan bantu-membantu golongan yang memerlukan ini seharusnya diamalkan di semua peringkat, sama ada individu, Badan Bukan Kerajaan (NGO) mahupun kerajaan.

“Mereka yang sihat bantu mereka yang kurang sihat, mereka yang kaya bantu yang miskin dan mereka yang kuat bantu mereka yang lemah.

“Jika ini dapat diamalkan di semua peringkat, negara dan negeri kita akan menjadi lebih makmur dan maju ke depan,” jelasnya.

Pada program itu, sebahagian peruntukan disumbang oleh Persatuan Kebajikan Meng Seng, ahli jawatankuasa Meng Seng, orang ramai termasuk Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Program pemberian angpau anjuran Persatuan Kebajikan Meng Seng Melaka itu merupakan program ke-26 diadakan pada setiap kali tibanya perayaan TBC.

CATEGORIES